SPAN, SPRM meterai MoU mantapkan agenda integriti

Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPAN dan SPRM ditandatangani oleh Razim (dua dari kanan) bersama-sama Ahmad Faizal (dua dari kiri) di Putrajaya, pada Isnin dengan disaksikan oleh Dr Thoo Kim (kiri sekali) dan Izani (kanan sekali).
Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPAN dan SPRM ditandatangani oleh Razim (dua dari kanan) bersama-sama Ahmad Faizal (dua dari kiri) di Putrajaya, pada Isnin dengan disaksikan oleh Dr Thoo Kim (kiri sekali) dan Izani (kanan sekali).
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini, pada Isnin, dalam aspek Khidmat Rundingan, pembangunan Modul Latihan dan Program Kesedaran, Perkongsian Maklumat serta Perkongsian Kepakaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman pemeteraian MoU antara SPAN dan SPRM akan memperkukuhkan sistem tadbir urus dan memantapkan agenda integriti SPAN.

“Saya berharap dengan pemeteraian MoU ini, SPAN akan menjadikan industri perkhidmatan air negara berada pada tahap terbaik daripada segi tadbir urus dan antirasuah," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin.

Tambah beliau, bagi memantapkan lagi agenda integriti SPAN dan memastikan pelaksanaan inisiatif antirasuah, Pelan Anti Rasuah SPAN 2021-2025, ABMS 37001:2016: Anti Bribery Management System serta Rangka Kerja Integriti dan Antirasuah Bagi Pemegang Lesen & Agensi Perakuan Industri Perkhidmatan Air yang lebih berkesan dan efektif, SPAN mengambil langkah memeterai MoU bersama SPRM.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal turut memberikan penekanan bahawa SPAN sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan perkhidmatannya kepada sistem dalam talian seperti E-Claps, E-KWSMP dan E-Registration bagi mengurangkan interaksi terus di antara pelanggan dan kakitangan SPAN.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pemeriksaan Dan Perundingan (BPMP) SPRM, Datuk Izani Wan Ishak mengingatkan syarikat dan operator industri perkhidmatan air agar tidak melakukan rasuah dalam apa-apa jua bentuk, termasuklah bayaran kemudahan dalam memberi perkhidmatan atau memperoleh apa-apa faedah kepada syarikat.

“Saya ingin memberi peringatan bahawa bayaran kemudahan atau dikenali juga sebagai wang pelincir meliputi pembayaran yang dibuat kepada pegawai untuk mendapat atau mempercepatkan perkhidmatan rutin perlu disediakan oleh pegawai.

“Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Korea Utara membenarkan bayaran kemudahan, namun di Malaysia ianya merupakan satu bentuk kesalahan rasuah. Dengan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 pada 1 Jun 2020, perkara ini boleh menyebabkan syarikat dan pengurusan syarikat didakwa kerana rasuah,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau menegaskan industri air berisiko tinggi dengan penyelewengan dan rasuah kerana industri ini melibatkan perolehan awam yang merupakan bidang yang paling berisiko tinggi.

Pada majlis MoU itu, SPRM diwakili oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor manakala SPAN oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Faizal disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Air Dan Pembetungan) Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr Ching Thoo Kim dan Datuk Izani Wan Ishak.