SPRM laksana program bersasar, cegah amalan rasuah

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan program bersasar melibatkan sektor perolehan kerajaan, sektor dana awam/peruntukan kerajaan dan sektor penguatkuasaan sepanjang tahun ini bagi mencegah berlakunya amalan rasuah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, program itu yang akan dilaksanakan menerusi bahagian berkenaan, memberi tumpuan terhadap isu kartel, ketirisan dana kerajaan, pelanggaran undang-undang dan ketidakcekapan dalam mengutip hasil kerajaan.
"Setakat April tahun ini, sebanyak 33 program bersama agensi penguatkuasaan telah diadakan di seluruh negara. Selain itu, sebanyak 74 program turut dijalankan bersama kementerian dan agensi kerajaan yang berisiko serta yang menerima peruntukan besar dalam Belanjawan 2023.
"Antaranya program dialog SPRM bersama Jabatan Kerja Raya yang diadakan bagi memastikan jabatan itu meneruskan tata kelola yang baik dalam pengurusan projek,” katanya dalam wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, baru-baru ini.