LCS: Rafizi dakwa syarikat palsu dimiliki keluarga menteri

Kenyataan media Rafizi.
Kenyataan media Rafizi.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek kapal tempur pesisir (LCS) dimiliki oleh isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.

Beliau berkata, kewujudan kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (offshore) menggunakan nama Alizes Marine tetapi didaftarkan di dua negara berbeza itu terbongkar melalui siasatan dalaman LCS dan semakan lanjut yang dilakukannya.

Berdasarkan semakan katanya, syarikat bernama Alizes Marine Limited didaftarkan di Malta dan sebuah lagi syarikat bernama Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan, Sabah ‘digunakan’ untuk menjadi pembekal alat-alat ganti kepada projek kapal LCS.

Menurut Rafizi, laporan turut menunjukkan pemilikan syarikat oleh wanita itu juga berlaku ketika suaminya yang pada ketika itu merupakan Timbalan Menteri Pertahanan.

“Kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai ini tidak boleh dijejaki. Kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat pesisir luar pantai dibocorkan oleh pemberi maklumat sehingga menjadi skandal besar dunia (dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers).

“Semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited yang dimiliki oleh seorang wanita. Wanita berkenaan (isteri menteri) juga pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited. Syarikat ini memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.

“Kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS. Ada beberapa bentuk penyelewengan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rafizi dalam masa sama turut mendedahkan dua bentuk penyelewengan yang didakwa berlaku membabitkan syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Pertama, syarikat-syarikat sebegini dilantik menjadi juru runding teknikal (sedangkan mereka tiada kepakaran) kepada projek. Mereka menghantar invois bagi kerja-kerja yang tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini di awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.

“Kedua, Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat-alat gantian (spare parts) kepada projek LCS. Lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen dari kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu).

“Projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat-alat gantian yang kononnya dibekalkan oleh syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat-syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan,” katanya.

Jelasnya, semakan yang dilakukan juga turut menunjukkan bahawa skim menyeleweng dana awam dari projek LCS ini dibuat selama bertahun-tahun dan dilakukan dengan penuh perancangan.

“Saya juga boleh mengesahkan bahawa ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain yang melibatkan seorang menteri dan LCS bukan satu-satunya projek yang melibatkan syarikat-syarikat berkait dengan beliau.

“Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain yang turut melibatkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain yang dimiliki dan dikawal oleh dia (menteri) sendiri atau isterinya. Pelbagai maklumat ini akan keluar pada kadar yang segera,” katanya.

Tambahnya, hakikat bahawa skim menyelewengkan dana LCS menggunakan syarikat-syarikat palsu yang dimiliki oleh Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu bukanlah satu kebetulan.

“Sebab itu, saya dari awal telah menuntut penjelasan dari (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menukar reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind, dan (Datuk Seri) Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

“Mustahil skim penyelewengan ini yang melibatkan projek-projek yang dikendalikan kedua-dua mereka (Najib dan Zahid) boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka.

Sementara itu, Rafizi dalam masa sama turut berharap dengan pendedahan yang dilakukan ini dapat menutup mulut UMNO dan BN yang cuba menjadikan pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai ‘mangsa’ apabila skandal ini meletup.

“Skandal sebesar ini tidak boleh berlaku tanpa ada dalang dari kalangan pimpinan UMNO yang membuat keputusan-keputusan besar pada ketika itu, sedangkan pesara-pesara tentera laut hanya bersubahat melaksanakan penyelewengan.

“Saya juga berharap pimpinan Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mula sedar bahawa skandal LCS ini akan turut mengheret mereka kerana pimpinan kanan mereka (menteri) dan keluarganya terlibat secara langsung di dalam syarikat-syarikat palsu yang menyelewengkan dana projek LCS.

“Saya menunggu reaksi pimpinan UMNO, Pas dan Bersatu yang membentuk Kerajaan Persekutuan kali ini,” katanya.