Isu LCS: SPRM perlu teruskan siasatan, pendakwaan

Hassan - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
Hassan - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A


JOHOR BAHRU - Pertuduhan terhadap bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Noor di mahkamah baru-baru ini tidak boleh dianggap sebagai sudah menyelesaikan skandal penyelewengan projek kapal tempur (LCS).

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. (SPRM) perlu meneruskan siasatan dan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam skandal itu.

"Semua yang terlibat dalam Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu disiasat secara menyeluruh. Semua menteri yang pernah menjadi Menteri Pertahanan Malaysia tidak boleh lepas diri. Mereka perlu bertanggungjawab.

"Bangkai rasuah yang busuk di Mindef tidak boleh ditutup dengan kertas plastik. Rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.

"Pertuduhan di mahkamah ke atas bekas Panglima TLDM tidak boleh menutup selesai dan membungkus isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah berhubung skandal LCS itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 16 Ogos lalu, Ahmad Ramli yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah projek LCS membabitkan dana syarikat bernilai lebih RM21 juta.

BNS ditugaskan untuk membina enam kapal tentera laut dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion yang bermasalah.

Dalam pada itu, Hassan berkata, isu rasuah di sebalik LCS akan menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional (BN), kelebihan dan aura kemenangan politik gabungan itu selepas menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kini sudah terhakis.
Artikel Berkaitan:


Katanya, imej BN kembali ke zaman skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

"Isu rasuah akan kembali menjadi isu sentral dalam PRU. Jika dalam PRU14 isu skandal 1MDB jadi isu utama sehingga kerajaan BN tumbang buat kali pertama dalam sejarah, kini dalam PRU15 isu LCS akan berlabuh mengambil tempat 1MDB," jelas Hassan.

Beliau berkata, ketika ini Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengharapkan laba politik datang bergolek ke kaki mereka dan berpeluk tubuh melihat isu rasuah menghujani tubuh badan BN dengan tidak mengambil apa-apa inisiatif positif di sebalik apa yang berlaku.

Menurutnya, sekadar pemimpin-pemimpin utama PH mendesak diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak mencukupi kerana rakyat menuntut lebih daripada itu terutama apakah agenda konkrit PH yang kemas dan padu untuk mengatasi isu rasuah di Malaysia.

"Jadi PH perlu huraikan agenda menentang rasuah dalam Manifesto PH untuk PRU15 dan bukan sekadar janji palsu atau retorik.

"Apa cadangan PH untuk tangani masalah rasuah yang kini sedang memusnahkan ekonomi, sosial dan politik Malaysia. Apakah PH boleh sambut cabaran ini? Jika PH mahu menang PRU15, maka matlamat menghapuskan rasuah perlu dijadikan isu utama dalam manifestonya di samping mengatasi masalah ekonomi dan masalah kos sara hidup rakyat," ujarnya.