Projek Lingkaran Tengah Utama tidak boleh ditangguh - JKR

JKR Kelantan menegaskan pojek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguhkan.
JKR Kelantan menegaskan pojek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguhkan.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan menegaskan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguhkan.

Pengarahnya, Mohd Suhaili Ismail berkata, hal ini kerana kerja-kerja pemasangan cerucuk sudah dimulakan dan jika laluan itu dibuka ia tetap tidak boleh dilalui oleh kenderaan.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berhubung perkara ini.

"Ada cadangan daripada pihak polis supaya menangguhkan sementara untuk mengelak kesesakan di Gua Musang menjelang Aidilfitri," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, menerusi perbincangan itu JKR mengambil keputusan untuk tidak membuka jalan atau menangguhkan projek kerana ia boleh membahayakan pengguna.

Ujarnya, bagi mengatasi masalah tersebut sempena Aidilfitri ini, JKR Kelantan akan menjadikan laluan alternatif kepada satu hala selain menutup laluan simpang di jalan alternatif.

Mohd Suhaili berkata, pihaknya mendapati laluan alternatif sering berlaku kesesakan memandangkan banyak simpang terutama menghala ke bandar Gua Musang.

"Justeru kita akan tutup laluan simpang dan menjadikannya laluan sehala.

“Langkah ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesesakan trafik pada Aidilfitri ini. Laluan simpang akan ditutup selama dua minggu iaitu seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas Aidilfitri,” katanya.

Sinar Harian Online pada Selasa melaporkan Polis Kelantan sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa pihak dalam usaha mencadangkan projek pemasangan cerucuk jambatan bagi LTU 3B dan 3C yang sedang berjalan ketika ini untuk dihentikan sementara waktu bagi mengelak kesesakan jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya sudah membuat perbincangan dengan pihak berkaitan iaitu JKR dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya kerja-kerja pembinaan dihentikan sementara sebelum musim perayaan ini.