Dua syor tangani isu perjawatan SPRM, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah

Rais Yatim - Foto Bernama
Rais Yatim - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (JKPK TIA) Dewan Negara pada Selasa mengemukakan dua syor bagi mengatasi isu perjawatan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.

Pengerusi JKPK TIA, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, syor itu hasil daripada dapatan penyata JKPK TIA mendapati wujud kekangan dalam pengurusan kes-kes rasuah apabila pihak SPRM tidak mempunyai bilangan pegawai mencukupi dalam melaksana fungsi mereka sebagai badan pencegahan rasuah utama negara.

Dapatan itu juga mendedahkan hakim ditempatkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah tidak mempunyai peluang kemajuan kerjaya apabila mereka terpaksa dipindahkan keluar dari mahkamah berkenaan apabila dinaikkan pangkat atau gred, sedangkan kepakaran mereka masih diperlukan untuk menguruskan kes rasuah.

"Oleh itu, JKPK TIA mengesyorkan perkara berikut untuk diambil perhatian dan tindakan oleh pihak atasan yang berkenaan iaitu mengesyorkan Jabatan Perkhidmatan Awam supaya mengkaji inisiatif baharu bagi mengatasi isu perjawatan di SPRM daripada kaedah tukar ganti kepada ‘one-off’ dan memantau pengisian perjawatan secara berkala dalam SPRM.

"Mengesyorkan pihak kerajaan supaya mewujudkan peluang kenaikan pangkat kepada hakim di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan melaksana program perantis dalam Badan Kehakiman untuk memastikan pelan penggantian hakim pakar dalam menguruskan kes rasuah berjalan lancar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Penyata berkenaan yang bertajuk Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Majlis Dewan Negara: Perjawatan Di Suruhanjaya Pencegahan Malaysia dan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dibentangkan di Dewan Negara pada 6 April lepas. - Bernama