Sungai Rui tercemar akibat aktiviti perlombongan

Abdul Aziz menunjukkan gambar keadaan Sungai Rui yang keruh dan berkelodak berdasarkan laporan yang diterima daripada JAS
Abdul Aziz menunjukkan gambar keadaan Sungai Rui yang keruh dan berkelodak berdasarkan laporan yang diterima daripada JAS
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengesan berlaku pencemaran di Sungai Rui, Gerik dipercayai akibat aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pencemaran tersebut bagaimanapun tidak serius seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan hasil ujian sampel air di sungai itu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menemui bahan logam berat iaitu arsenik di dalam sungai berkenaan.

"Walaupun pencemaran itu tidaklah sampai ke tahap Sungai Kim Kim di Johor tetapi kita perlu mengambil langkah-langkah awal supaya tahap pencemaran tidak sampai ke tahap yang teruk.

"Sungai Rui itu didapati keruh dan berkeladak, perubahan nilai pH dan kehadiran logam berat yang difahamkan arsenik. Pemantauan kualiti air sungai ini dibuat oleh Jabatan Mineral dan Geosains serta JAS," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, air sungai tersebut digunakan untuk tujuan pengairan dan bukan untuk diminum atau digunakan untuk keperluan harian.

Katanya, bagaimanapun terdapat penduduk yang difahamkan terjejas akibat pencemaran berkenaan.

"Kita akan terus memantau keadaan ini bersama JAS, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap supaya tidak berlaku keadaan panik. Apa yang saya buat ini supaya kita mendapat gambaran sebenar agar semua pihak dapat berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata, semua pihak berkaitan telah mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keadaan itu terkawal.

Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Noor Azizi Adinan berkata, pihaknya memantau air sungai tersebut dari semasa ke semasa.

Katanya, dari segi kualiti kualiti sungai agak normal dan ia dikategorikan dalam kelas dua.

"Sampel kita ambil sejak tahun 2016, sekarang menunjukkan ada sedikit kehadiran arsenik dipercayai dari aktiviti perlombongan di situ dan memberi kesan kepada penduduk.

"Sampel air ini akan diambil dari semasa ke semasa untuk kita pastikan sungai ini selamat," katanya.