WLP Lynas semula jadi, tidak berisiko

Lynas
Lynas
A
A
A

SHAH ALAM - Lynas Malaysia Sdn Bhd membidas kenyataan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mendakwa sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) tidak boleh dianggap bahan radioaktif yang berlaku secara semula jadi, tetapi dipertingkatkan secara teknologi berbahaya.

Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Prof Dr Ismail Bahari berkata, kenyataan tersebut ternyata salah dan mengabaikan fakta saintifik.

Jelasnya, berdasarkan fakta saintifik residu WLP adalah sisa pepejal yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM).

"WLP merupakan sisa pepejal terhasil secara semula jadi yang mengandungi radiasi dan pekatan lanthanid (bahan metah) pada paras yang sangat rendah. Ia juga tidak melibatkan sebarang penambahan teknologi manakala unsur radioaktif (Uranium dan Thorium) juga secara semula jadi.

"Perkara tersebut disahkan oleh Jawatankuasa Penilaian yang dilantik Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) pada tahun lalu. Dalam laporan jawatankuasa berkenaan direkodkan bahawa WLP ialah bahan yang mengandungi NORM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lynas jawab isu lesen

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Idris semalam yang mengatakan sisa buangan WLP tidak boleh dianggap bahan radioaktif yang berlaku secara semula jadi, tetapi dipertingkatkan secara teknologi berbahaya.

Selain itu, Idris juga mendakwa unsur radioaktif seperti Uranium dan Thorium dalam WLP yang boleh dicairkan dan kurang beradioaktif adalah tidak berasas.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, Jawatankuasa Penilaian juga mendapati risiko operasi Lynas Malaysia adalah rendah, mematuhi peraturan dan kemudahan menyimpan residu dikendalikan dengan cara yang betul.

"Bukan itu sahaja, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga mengklasifikasikan WLP sebagai NORM.

"Justeru, Lynas Malaysia berharap setiap penilaian terhadap operasi kami harus berdasarkan fakta saintifik dan bukti daripada pakar berkelayakan. Bukannya, dakwaan tidak berasas," tegasnya.