Bekas banduan paling lama dipenjara meninggal dunia

Jenazah Allayarham Jamil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kecil kira-kira jam 6 petang pada Ahad.
Jenazah Allayarham Jamil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kecil kira-kira jam 6 petang pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERANG – Bekas banduan, Jamil Ahmad, 71, yang mendapat pengampunan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 2006 ditemui meninggal dunia di pekarangan rumahnya di Kampung Sungai Kechil, Kuala Nerang, di sini, pada Ahad.

Jamil atau lebih mesra dengan gelaran Pak Long Jamil, menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat serangan jantung kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, rakan serumahnya menemui Allahyarham dalam keadaan terbaring.

Mulkiaman berkata, Jamil dipercayai tidak sihat sejak seminggu lalu dan ketika kejadian Allahyarham dipercayai ingin ke tandas sebelum terjatuh.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

"Anggota polis turut melakukan pemeriksaan dan mendapati kematian mangsa tidak melibatkan unsur jenayah,” katanya pada Ahad.

Sementara itu, anak lelakinya, Muhammad Alif Irfan Jamil, 14, kali terakhir dia berbual dengan bapanya pada malam Sabtu dan Allahyarham memaklumkan akan datang melawatnya di Pusat Tahfiz Futuhil U'lum di Jitra, pada Ahad untuk memberi wang belanja harian.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan ahli keluarganya bahawa bapanya telah meninggal dunia, namun reda tentang pemergian Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Allahyarham Jamil dibawa ke Surau Kampung Sungai Kechil di sini, untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kecil kira-kira jam 6 petang.

Allahyarham Pak Long Jamil dan seorang lagi bekas banduan, Salleh Talib memegang rekod sebagai penghuni penjara paling lama di Malaysia iaitu lebih dari separuh usia mereka dan melebihi 30 tahun.

Kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat kerana melakukan rompakan di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1972 dan turut dikenakan hukuman enam sebatan rotan yang meninggalkan parut.

Sebelum ini, Allahyarham dipenjara selama 30 tahun, 11 bulan dan sembilan hari di Penjara Sungai Buloh di Selangor selepas didapati bersalah melakukan rompakan bersenjata di Baling, Kedah pada 1976.

Bagaimanapun, dia dibebaskan pada 3 Oktober 2006 selepas mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Selepas dibebaskan, Allahyarham Jamil aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ceramah motivasi demi memberi peringatan kepada generasi muda agar tidak melakukan kesalahan sama.