2022: Unjur KDNK berkembang antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus

Bank Negara Malaysia. - Foto Bernama
Bank Negara Malaysia. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus bagi 2022 walaupun pertumbuhan ekonomi global dijangka lebih perlahan tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan bagi baki tempoh 2022 dan 2023 akan dipacu terutama oleh perbelanjaan sektor swasta khususnya sektor pelancongan yang dijangka kembali normal ke tahap sebelum pandemik.

"Kegiatan pelaburan juga mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek seperti MyDigital dan Laluan Rel Pantai Timur yang direalisasikan,” kata beliau pada sidang media bersama antara BNM dan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2022, pada Jumaat.

Beliau berkata, rantaian bekalan juga dijangka kukuh memandangkan gangguan berkaitan Covid-19 yang semakin reda dan perdagangan global yang perlahan telah mengurangkan beberapa tekanan dalam melangkah ke hadapan.

"Ini akan mengimbangi kesederhanaan yang dijangka dicatatkan dalam pertumbuhan global. Terdapat juga beberapa faktor yang menyokong daya tahan eksport kita,” kata beliau.

Bagaimanapun, Nor Shamsiah berkata prospek pertumbuhan terus menghadapi cabaran dengan kemerosotan yang lebih teruk dalam pertumbuhan global merupakan satu risiko utama.

"Ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk pengetatan dasar monetari di Amerika Syarikat, krisis tenaga di zon euro dan perintah sekatan pergerakan baharu di China.

"Gangguan rantaian bekalan boleh menjadi lebih negatif dengan peningkatan harga komoditi global selanjutnya jika konflik geopolitik memuncak. Keadaan penawaran pula boleh semakin terjejas dengan kekurangan tenaga buruh yang lebih teruk atau keadaan cuaca buruk,” kata beliau.

Beliau menekankan bahawa tekanan kos dan harga yang lebih tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan isi rumah dan kegiatan pelaburan selain mempengaruhi pemulihan ekonomi dan ini jauh lebih penting daripada risiko daripada pasaran buruh yang lebih kukuh, prestasi lebih baik yang direkodkan sektor pelancongan dan sebarang langkah dasar domestik tambahan.

Pemulihan yang tidak sekata

BNM mengakui bahawa pemulihan ekonomi adalah tidak sekata dengan kemajuan membabitkan beberapa segmen terus ketinggalan berbanding yang lain.

Ketika sebahagian besar sektor ekonomi telah mencatatkan pemulihan kukuh, Nor Shamsiah berkata kira-kira 20 peratus daripada ekonomi masih berada di bawah tahap sebelum pandemik di mana sektor paling terjejas adalah pembinaan, disebabkan kekurangan buruh dan harga input yang tinggi.

Bagaimanapun, industri berkaitan pelancongan mula mencatatkan pemulihan baru-baru ini, tambahnya.

Sektor pembinaan meningkat untuk berkembang 2.4 peratus pada suku kedua 2022 berbanding penguncupan 6.2 peratus pada suku pertama, manakala sektor perkhidmatan menokok kepada 12 peratus daripada 6.5 peratus.

"Di pasaran buruh, pemulihan dalam kalangan kumpulan mudah terjejas, terutamanya golongan remaja dan orang tua, serta pekerja berkemahiran rendah adalah lebih perlahan berbanding kumpulan lain di pasaran buruh.

"Disebabkan itu, apabila dasar makro membuat kalibrasi semula berikutan pemulihan ekonomi secara keseluruhan, dasar yang disasarkan akan terus menyokong segmen masyarakat ini,” katanya.

Pembaharuan Struktur

Berikutan ekonomi meneruskan laluan pemulihannya, keutamaan dasar pada masa ini perlu memberi tumpuan lebih kukuh terhadap dasar jangka panjang sebagai pelengkap kepada langkah jangka pendek untuk meraih pertumbuhan mampan dan inklusif serta mendorong daya tahan Malaysia untuk mengharungi kejutan pada masa depan, kata Nor Shamsiah.

Beliau berkata pembaharuan struktur itu akan merangsang pertumbuhan Malaysia dengan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beberapa bidang tumpuan penting adalah termasuk menarik pelaburan berkualiti yang berupaya menghasilkan aktiviti bernilai tambah tinggi dan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia, membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia dengan ekonomi pada masa depan, serta mempercepat automasi dan pendigitalan, katanya.

Bank pusat turut menggesa peningkatan jaringan keselamatan sosial dan penambahbaikan ke atas rangka kerja perlindungan sosial yang dibiayai melalui rejim subsidi lebih bersasar serta memajukan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat dunia. - Bernama