'Tak sangka hanya jumpa jenazah adik'

Bot yang dinaiki enam nelayan termasuk tekong yang dilaporkan karam di perairan Pulau Redang. - Foto ihsan pembaca (Gambar kecil: Saludin)
Bot yang dinaiki enam nelayan termasuk tekong yang dilaporkan karam di perairan Pulau Redang. - Foto ihsan pembaca (Gambar kecil: Saludin)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Abang kepada tekong bot nelayan yang karam dalam kejadian di perairan Pulau Redang pada malam Isnin lalu hiba kerana tidak menyangka hanya bertemu jenazah adiknya selepas seminggu tidak bersua.

Ramli Ismail, 52, berkata, jenazah adiknya, Saludin Ismail, 50, ditemui oleh pasukan penyelamat di sekitar perairan Pulau Redang kira-kira jam 11 pagi, pada Rabu.

"Rasa terkilan kerana seminggu sebelum tragedi ini saya tak sempat bertemu dengan adik saya memandangkan masing-masing sibuk bekerja dan jarak antara rumah kami agak jauh.

"Tak sangka yang saya jumpa hari ini hanyalah jenazah. Sekarang kami sekeluarga ada bersama jenazah yang akan dibawa ke daratan di Kuala Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Menurut Ramli, khabar duka mengenai tragedi menimpa adiknya diterima pada jam 6.30 petang pada Selasa.

Katanya, dia difahamkan adiknya bersama lima lagi nelayan turun ke laut untuk memasang bubu bagi menangkap ikan kerisi.

"Kelmarin (Selasa) ada orang datang ke rumah beritahu bot yang dinaiki adik saya telah tenggelam.

"Bila dapat khabar itu, hari ini kami sekeluarga termasuk isteri dan anak-anak adik saya ke Pulau Redang dari Jeti Tok Bali," katanya.

Empat lagi mangsa turut dikhuatiri lemas iaitu Zulkifli Umar, 48; Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49; Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Mohd Nazri Abu Bakar.

Difahamkan, setakat ini tiga daripada lima mangsa telah ditemui.