Polis kesan lelaki warga asing disyaki rogol remaja

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di rumah keluarga angkatnya di Kluang, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 30-an yang juga bapa angkat mangsa, dipercayai masih berada di dalam negara.

"Warga asing tersebut dipercayai telah melarikan diri. Dia berkahwin dengan ibu angkat remaja itu tetapi tidak berdaftar.

"Berdasarkan laporan doktor, memang ada kejadian lama (rogol). Memang ada berlaku yang baharu tetapi kesan itu kesan lama," katanya pada sidang media selepas Pertandingan Menembak Polis Johor bersama Media sempena Peringatan Hari Polis di Lapang Sasar Menembak Ladang REM di sini pada Selasa.

Difahamkan kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira 3 pagi, 31 Julai lepas dan laporan polis dibuat oleh mangsa bersama gurunya.

Berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang disyaki didera di sebuah pusat terapi di Skudai, Julai lepas, Kamarul Zaman berkata, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes itu kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sudah ambil semua keterangan individu yang terlibat termasuk orang yang kita syaki dan pihak institut pengajian tinggi (IPT).

Pada 29 Julai lepas, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat kes seorang ibu yang mendakwa anak lelakinya yang menghidap autisme didera guru di sebuah pusat terapi di Skudai, seperti tular menerusi media sosial.

Menerusi satu hantaran seorang pemilik akaun Facebook ‘Cik Puan Zetty’ berhubung kes berkenaan, wanita tersebut mendakwa anaknya dimasukkan ke pusat terapi di sebuah IPT di Skudai sejak November 2019 dan kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 7 Julai lepas.

Wanita itu mendakwa anaknya yang berusia enam tahun telah didera oleh guru terapi sehingga mengalami kesan lebam di bahu kiri yang berbentuk jari selain kesan cubitan di dada.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata kira-kira 60 peserta menyertai pertandingan menembak berkenaan yang terdiri daripada ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, ketua polis daerah, pegawai dan petugas media daripada pelbagai agensi.

Kategori 'Center Fire Media' (individu) dimenangi Ketua Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Johor Nor Baizura Basri, wartawan NSTP Izlaily Nurul Ain Hussein (tempat kedua) manakala wartawan Bernama Nur Fadhliana Shaari (tempat ketiga).

Kumpulan satu yang diketuai Kamarul Zaman, Ketua Jabatan Pengurusan IPK Johor, Asisten Komisioner Mohd Zamri Mohd Rowi, Nur Fadhliana dan jurufoto Bernama Nurul Fatihah Kamaruddin pula mengungguli kategori berkumpulan iaitu 'Falling Plate'. - Bernama