Maritim Pulau Pinang tahan 22 kru bot nelayan warga Thailand

Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan 22 kru warga Thailand tanpa dokumen pengenalan diri yang sah kerana bekerja di atas bot nelayan tempatan.
Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan 22 kru warga Thailand tanpa dokumen pengenalan diri yang sah kerana bekerja di atas bot nelayan tempatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan disyaki menggajikan pendatang tanpa izin di Monkey Beach, di sini pada petang Ahad.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, seramai 22 kru bot warga Thailand termasuk tekong ditahan pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika utara Monkey Beach, kira-kira jam 5.15 petang.

Menurutnya, bot nelayan tempatan itu ditahan ketika bersauh di utara perairan Pulau Pinang oleh anggota penguat kuasa yang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu dikendalikan 22 kru warga Thailand termasuk tekong berusia lingkungan 26 hingga 54 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru terbabit disyaki telah melakukan kesalahan iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, bot dan kru yang ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Bot nelayan yang dirampas Maritim Malaysia Pulau Pinang.
Bot nelayan yang dirampas Maritim Malaysia Pulau Pinang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa suatu dokumen yang sah.

"Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada.

"Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999," katanya.