[VIDEO] Kapal LCS pertama dijangka siap dalam tempoh dua tahun

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kapal pertama projek kapal tempur persisir (LCS) pertama dijangka siap dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, jadual kemajuan projek pembinaan kapal itu juga secara berperingkat akan dilaporkan kepada orang ramai.

"Saya boleh nyatakan bahawa sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini saya harap bahawa jelas kapal pertama akan dapat kita siapkan.

"Dan saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat-peringkat kapal yang telah pun dijanjikan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan saya akan maklumkan kepada Kabinet apa yang telah kita lakukan untuk memastikan ia kali ini insya-ALLAH mengikut apa yang telah dijadualkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Razali Idris pada sesi Persidangan Dewan Negara, pada Isnin.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Khamis lalu menyatakan kajian daya maju (due deligence) dilakukan kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengenai pembinaan LCS gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

Katanya, meskipun kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek itu, namun tiada sebuah kapal LCS pun telah disiapkan setakat ini.

Hishamuddin berkata, tarikh sebenar jangkaan siap bagi keseluruhan kapal LCS itu tidak dapat diberikan pada ketika ini kerana projek itu baru sahaja dibenar untuk dimulakan semula pada tahun ini.

“Kerana kita diberikan enam bulan selepas keputusan kabinet untuk memobilisasikan usaha menghidupkan semula projek ini. Ia melibatkan engagement dengan vendor di Perancis dan agensi-agensi perbankan,” ujarnya.

No Image Caption

Kabinet pada 20 April lalu bersetuju untuk meneruskan projek perolehan LCS.

Ketika mengumumkan perkara itu, Hishammuddin berkata dua faktor diambil kira dalam keputusan tersebut adalah keperluan memenuhi pelan transformasi TLDM sedia ada dan menangani implikasi kewangan terhadap 400 vendor yang terbabit dalam projek tersebut.

Dalam pada itu, menjawab soalan daripada Senator Datuk Husain Awang berkenaan langkah diambil bagi menangani kemungkinan penyelewengan dalam projek itu, Hishammuddin memberikan jaminan tindakan akan diambil terhadap individu yang didapati bersalah.

Katanya, tindakan seterusnya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memulakan siasatan terhadap projek berkenaan.

"Saya boleh nyatakan bahawa sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini saya harap bahawa jelas kapal pertama akan dapat kita siapkan."

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki Sabtu memaklumkan siasatan berhubung penyelewengan dalam perolehan lima buah kapal LCS TLDM kini berada di peringkat terakhir.

Azam bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan masih tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan maklumat sensitif dan rahsia.