Projek LCS akan diteruskan: Hishammuddin

Hishammuddin - Foto Bernama
Hishammuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua peringkat termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Parlimen dan kabinet telah bersetuju untuk meneruskan projek pembekalan perolehan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS).

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kaedah bagaimana projek berkenaan diteruskan akan diumumkan selepas Jemaah Menteri membuat keputusan akhir.

Beliau berkata, perkara paling penting dalam isu LCS itu adalah kapal-kapal yang dipersetujui dan dirancang perlu diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kedua, ia juga bagi memastikan syarikat-syarikat yang terlibat dengan pihak-pihak berkepentingan mendapat pembelaan, lebih-lebih lagi mereka yang bekerja di vendor di mana ramai antaranya veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya ketika sidang akhbar.

Hishammuddin sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani kontrak dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan dan beberapa pemain industri pertahanan di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di sini pada Rabu.

Hishammuddin juga menjelaskan jika isu LCS tidak diselesaikan, ia berkemungkinan akan menjejaskan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang akan memberi kesan kepada pencarum.

Beliau turut memaklumkan perbincangan beliau dengan Menteri Pertahanan Perancis Florence Parliy yang menyentuh isu LCS, masih berterusan sehingga kini.

LCS merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan 15-to-5 TLDM, yang bertujuan untuk memperkemaskan aset angkatan laut negara dan kesemua enam kapal yang dirancang adalah berasaskan rekaan Gowind oleh syarikat Perancis, Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCNS).

Sementara itu, berkaitan jet pejuang F/A-18D (Hornet) daripada Kuwait, HIshammuddin berkata, Malaysia sedang merancang dan telah pun dalam perbincangan untuk melihat kepada pemberhentian penggunaan oleh negara itu.

Artikel Berkaitan:

"Perkara itu masih lagi berjalan tetapi ia melibatkan hubungan bilateral antara Malaysia dan Kuwait. Jika diizinkan, ia akan berlaku dan ia akan menambah nilai kepada pelan jangka pendek kita,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang dalam proses untuk perolehan sejumlah pesawat pejuang F/A-18D (Hornet) dari Kuwait. - Bernama