Lelaki maut tercampak keluar dari MPV

Seorang lelaki maut akibat tercampak keluar dari MPV Proton Exora yang dipandunya di Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba Perak
Seorang lelaki maut akibat tercampak keluar dari MPV Proton Exora yang dipandunya di Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 234.8, Lebuhraya Utara - Selatan arah selatan di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 2.10 petang itu, mangsa, Mohd Ridzuan Mat Yusoff, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang, wanita, 68, cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, maklumat awal kemalangan diterima melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dipandu mangsa dan kereta Perodua Myvi.

"Siasatan awal mendapati kenderaan mangsa yang dalam perjalanan menuju ke selatan dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas dan bergesel dengan penghadang besi di bahagian kiri jalan.

"Keadaan itu menyebabkan kenderaan mangsa berpusing beberapa kali melanggar pembahagi besi di tengah lebuh raya sebelum terhenti," katanya.

Anggota bomba bertugas mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis. - Foto ihsan Bomba Perak
Anggota bomba bertugas mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis. - Foto ihsan Bomba Perak

Menurutnya, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari Proton Exora terbabit.

"Kereta Perodua Myvi yang ada dibelakang tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan kenderaan mangsa yang berada di tengah lebuh raya.

"Pemandu dan penumpang kereta masing-masing berusia 63 dan 58 tahun tidak cedera dalam kejadian ini," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, mangsa yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

"Mayat dihantar ke unit forensik di hospital sama untuk dibedah siasat. Kenderaan terlibat pula ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

"Saksi-saksi bebas telah dikenal pasti untuk membantu siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.