Penganjur larian buntu cari Ashraf

Operasi pencarian Acap diteruskan di kawasan Sungai Kampar. (Ashraf hilang sejak 23 Mac lalu.)
Operasi pencarian Acap diteruskan di kawasan Sungai Kampar. (Ashraf hilang sejak 23 Mac lalu.)
A
A
A

GOPENG - Penganjur Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 telah hentikan operasi mencari pesertanya, Mohammad Ashraf Hassan, 29, selepas menemui jalan buntu pada misi yang dijalankan sejak 23 Mac lalu.

Ketua Bahagian Teknikal perlumbaan, Nik Khairul Amri Nik Hassan berkata, pencarian pihaknya termasuk bantuan dari para pendaki untuk mencari mangsa sepanjang 10 hari berlangsung memberikan hasil yang negatif.

"Kita mencuba segala kemungkinan termasuk mencarinya di sepanjang sungai. Daripada 150 orang, kini tinggal lebih 10 orang yang masih meneruskan usaha mencari mangsa bersama pasukan penyelamat yang lain.

"Tidak tinggal begitu sahaja, kita sentiasa mengikuti perkembangan operasi ini dan sekiranya ada petunjuk selain mistik, barulah kita masuk semula membantu mencarinya. Kita turut memaklumkan perkara ini kepada keluarga mangsa," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya telah memperluaskan pencarian hingga di laluan 50 kilometer.

"Hari ini kita cuba mencari mangsa di kawasan baharu melibatkan laluan yang tidak dilaluinya iaitu trek laluan kategori 50km.

"Dengan bantuan Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, kita mencari di setiap inci kawasan atau kawasan berpotensi mangsa tersasar dari laluan asalnya," katanya.

Menurutnya, beliau menasihatkan sukarelawan yang ingin membantu agar membataskan pergerakan di kawasan perkampungan yang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk kampung.

ARTIKEL BERKAITAN Ibu mimpi Ashraf di Gua Tempurung

Artikel Berkaitan: