Ibu mimpi Ashraf di Gua Tempurung

Gambar yang turut dikongsi menerusi Facebook menunjukkan Siti Maznah turut serta dalam misi pencarian di Bukit Batu Putih.
Gambar yang turut dikongsi menerusi Facebook menunjukkan Siti Maznah turut serta dalam misi pencarian di Bukit Batu Putih.
A
A
A

IPOH – Ibu kepada Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang ketika menyertai larian itu, 23 Mac lalu mendapat mimpi berkemungkinan anaknya berada di Gua Tempurung.

Perkara itu dikongsi abang kedua mangsa, Mohd Zahiruddin, 35, yang memaklumkan ibunya, Siti Maznah Khamis, 62, mendapat petunjuk menerusi mimpi sekitar dua hari lalu bahawa Mohammad Ashraf berada di satu kawasan seakan Gua Tempurung.

“Kami cari semalam di sekitar Gua Tempurung sebab mak ada mimpi dan dia perasan kawasan itu Gua Tempurung, malah ada pengamal perubatan Islam nampak perkara sama, dia kata nampak Acap di situ, jadi kami ikhtiarkan di situ.

“Bagi pihak keluarga, kami tidak kisah apa-apa petunjuk, kami akan usaha dan pergi, saya sebagai abang pun pernah masuk gaung dan cerun untuk mencarinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Video pencarian mereka di Gua Tempurung itu turut tular sebaik dimuat naik Mohd Zahiruddin di media sosial, malam tadi.

Dalam beberapa video dimuat naik itu dapat didengar rintihan suara Siti Maznah yang memanggil nama anaknya berulang kali...’Acap di sini Acap, balik Acap...mak kat sini’.

Mohd Zahiruddin berkata, sejak kes kehilangan Mohammad Ashraf dilaporkan, ramai yang menawarkan khidmat bantuan menerusi kaedah perubatan Islam.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan informasi diperolehi tidak memaklumkan lokasi yang spesifik dan ianya lebih bersifat pelbagai seperti menyebut pokok, batu dan sungai.

Artikel Berkaitan:

Video pencarian di sekitar Gua Tempurung yang dikongsi Mohd Zahiruddin di Facebook.
Video pencarian di sekitar Gua Tempurung yang dikongsi Mohd Zahiruddin di Facebook.

“Mereka suruh cari di pangkal pokok, ada yang kata celah batu, jadi kami pun tak tahu mana satu.

“Apa pun kami ucapkan terima kasih kerana sanggup membantu, jumlahnya terlalu ramai termasuklah mereka yang dari Sabah dan Sarawak, ada yang menghubungi kami menerusi telefon, mesej dan ada yang datang sendiri berjumpa.

“Tidak kurang yang mengirimkan kata-kata semangat dan doa menerusi Facebook,” katanya.

Mengimbas kejadian 23 Mac lalu, beliau berkata, sekitar jam 12 tengah hari, talian telefon Mohammad Ashraf masih berfungsi, namun panggilan yang dibuat oleh isterinya itu tidak diangkat.

Jelasnya, panggilan seterusnya dibuat sekitar jam 3 petang apabila mangsa tidak kunjung tiba di garisan penamat, namun talian telah ditutup.

“Kami tidak pernah berputus asa dan harapan kami menerusi operasi pencarian ini sedikit pun tidak pudar.

“Kami berharap Acap akan tetap muncul walau terpaksa tunggu lama,” katanya.

Mohammad Ashraf atau panggilan mesra Acap bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.