Penganjur mohon pindah lokasi konsert

Poster bantahan penganjuran konsert yang dibuat penduduk di sekitar Bertam.
Poster bantahan penganjuran konsert yang dibuat penduduk di sekitar Bertam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diminta untuk membatalkan kelulusan penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang dikatakan akan dianjurkan di Dewan Millenium, di sini pada 30 September depan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohammad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kegusaran orang ramai mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam berharap konsert itu dibatalkan, namun difahamkan pihak penganjur memohon untuk memindahkan lokasi konsert itu ke kawasan Batu Kawan dengan syarat-syarat tambahan.

"Konsert berkenaan mendapat bantahan penduduk setempat yang dianggap tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul.

"Warga setempat juga telah mengemukakan bantahan rasmi mereka kepada Datuk Bandar MBSP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.

Pada Selasa, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis, antaranya Baby Shima serta beberapa artis Indonesia.

Bagaimanapun, dalam poster terbabit tidak dinyatakan mengenai kadar caj tiket yang dikenakan selain tiada maklumat lengkap pihak penganjur yang mengendalikan acara terbabit.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran di Facebook peribadinya menyatakan bantahan mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Setelah mendapat maklumat terperinci, saya telah mengarahkan #TeamBertamKita mengemukakan bantahan rasmi kepada YBhg Datuk Azhar Hj Arshad, Datuk Bandar MBSP.

"Penganjuran konsert hiburan sebegini, pertamanya tidak sesuai diadakan dalam persekitaran Kepala Batas dan keduanya, ia diadakan dua hari selepas umat Islam meraikan sambutan Maulidur Rasul," tulisnya.

Sinar Harian difahamkan, Datuk Bandar MBSP akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu dalam masa terdekat.