Kelantan usaha lebih 3,320 hektar tanah terbiar

TUAN MOHD SARIPUDIN TUAN ISMAIL
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan
TUAN MOHD SARIPUDIN TUAN ISMAIL Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan
A
A
A

KOTA BHARU - Seluas 3,320.09 hektar tanah terbiar sudah diusahakan oleh kerajaan Kelantan sejak 2006 sehingga kini.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tanah terbiar tersebut dibangunkan khusus bagi meningkatkan lagi pengeluaran sumber makanan negeri dan negara melalui peruntukan sebanyak RM20,000 per hektar.

“Tanah terbiar yang diusahakan sepanjang tahun 2006 sehingga 2022 adalah seluas 3,320.09 hektar daripada 4,814.70 hektar keseluruhan.

“Jumlah masih berbaki 1,494.74 hektar tanah terbiar yang tidak diusahakan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darul Naim, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, bagi perancangan jangka pendek setiap tahun melalui peruntukan negeri di bawah Program Tanah Terbiar adalah sebanyak RM600,000 bagi Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk diagihkan ke daerah-daerah bagi tujuan tersebut.

“Jabatan pertanian akan mengenal pasti permohonan petani yang layak dan memenuhi syarat untuk mengusakan tanaman keutamaan komoditi Majlis Tindakan Ekonomi Negara seperti kelapa dan durian serta selingan sementara menunggu hasil contoh tanaman durian selingan tembikai.

“Projek yang boleh menjadi ikon pembangunan tanah terbiar di Kelantan ialah tanaman kelapa di Gong Tengah, Semerak, Pasir Puteh dan tanaman durian Kampung Cheker, Pisang Menggala di Pasir Puteh dan tanaman limau chukun di Kampung Air Chanal, Tanah Merah,” katanya.

Ujarnya, melalui Jawatankuasa Induk Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, kesemua ketua jajahan dilantik sebagai ahli jawatan kuasa bagi menyelaras dan memantau agenda pembangunan tanah terbiar di setiap jajahan di seluruh Kelantan sekali gus mengenal pasti serta melengkapkan data kawasan tanah terbiar yang terkini.

“Pihak Jabatan Pertanian akan sentiasa bersama-sama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mengenal pasti lot-lot tanah terbiar yang ada untuk bertemu pemain-pemain industri dalam sektor pertanian dan pemilik tanah untuk dibangunkan kawasan tersebut.

“Melalui Program Gerakan Pertanian AlFalah Pondok dan Tahfiz, kerajaan menyediakan peruntukan RM 200,000 setiap tahun bagi membangunkan projek pertanian dan penternakan dalam usaha membangunkan tanah-tanah terbiar di kawasan-kawasan pondok dan pusat tahfiz,” katanya.