Hospital Seri Iskandar, Parit Buntar beroperasi hujung tahun ini

Sivanesan (dua dari kiri) mengiringi Kor Ming menandatangi plak simbolik merasmikan Sambutan 50 tahun Pusat Pakar Mata LEC di Ipoh.
Sivanesan (dua dari kiri) mengiringi Kor Ming menandatangi plak simbolik merasmikan Sambutan 50 tahun Pusat Pakar Mata LEC di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Hospital baharu Seri Iskandar dan Parit Buntar dijangka akan siap dan mula beroperasi pada penghujung tahun ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, kedua-dua hospital yang dilengkapi dengan 320 katil itu bakal memberi manfaat kepada penduduk di daerah Perak Tengah dan Kerian.

"Penghujung tahun ini dua hospital akan dibuka begitu juga dengan Klinik Kesihatan Pangkor. Ini merupakan perkara utama berkaitan kesihatan di Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan 50 tahun Pusat Pakar Mata LEC yang dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Persiaran Greenhill di sini pada Khamis.

Berkaitan isu bantahan pertukaran nama Hospital Parit Buntar, Sivanesan berkata, kerajaan negeri bersetuju agar nama hospital berkenaan dikekalkan berbanding ditukar kepada Hospital Bagan Serai.

"Ramai yang tidak bersetuju pertukaran nama tersebut dan perkara ini telah dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri.

"Menerusi mesyuarat itu, semua sebulat suara memutuskan nama Hospital Parit Buntar dikekalkan dan saya juga akan menulis surat kepada Menteri Kesihatan berhubung perkara itu," katanya.

Tambah beliau, Perak kini mempunyai 14 hospital, 88 klinik kesihatan, 126 klinik desa dan empat klinik bergerak.

Artikel Berkaitan: