Tidak daftar kelahiran anak akibat kesempitan hidup

Siti Zulaikha Asyikin (kanan) bersama suami mengakui mengalami kesukaran kerana tidak mendaftarkan kelahiran dua anaknya.
Siti Zulaikha Asyikin (kanan) bersama suami mengakui mengalami kesukaran kerana tidak mendaftarkan kelahiran dua anaknya.
A
A
A

BESUT - Pasangan suami isteri dari Kampung Cawat di sini mengakui mengalami kesukaran dalam menguruskan dua anaknya kerana tidak mendaftarkan sijil kelahiran mereka.

Siti Zulaikha Asyikin Adam, 33, berkata, anaknya, Hanis Suhada, 7, dan Raif Rayyan, 11 bulan tidak memiliki sijil lahir kerana dia dan suami, Suheri Mat Noor, 41, tidak dapat berbuat ekoran kesempitan hidup.

Menurutnya, disebabkan gagal mendaftarkan kelahiran, anaknya yang sepatutnya berada di Tahun Satu tidak dapat bersekolah tahun ini.

"Saya pernah ke JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) sebelum ini, tetapi atas beberapa faktor menyebabkan urusan tergendala dan saya tidak sempat untuk pergi sekali lagi bagi menguruskan pendaftaran sijil lahir anak-anak.

"Bila tiada sijil lahir ni jadi serba serbi susah, nak sekolah pun susah, nak dapatkan rawatan di klinik kesihatan pun sukar," katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Menurut Siti Zulaikha Asyikin, pendapatan tidak menentu di samping tidak mempunyai waktu terluang menyebabkan mereka sukar untuk menguruskan hal-hal berkaitan pendaftaran anak.

"Saya hanya bekerja di kilang keropok dan menerima upah kira-kira RM30 sehari sementara suami pula bekerja sebagai buruh dengan upah RM60 sehari.

"Empat bulan lepas saya terpaksa keluar dari rumah sewa untuk mencari rumah yang lebih murah di bawah RM300 kerana faktor kemiskinan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Siti Zulaikha Asyikin (kanan) bersama suami (kiri) dan anak-anak mereka ketika ditemui di Kampung Cawat, baru-baru ini.
Siti Zulaikha Asyikin (kanan) bersama suami (kiri) dan anak-anak mereka ketika ditemui di Kampung Cawat, baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, kesukaran hidup yang dialami menyebabkan anak sulungnya, Siti Nur Ain Nabila, 15, terpaksa berhenti belajar.

Katanya, buat masa ini anak keduanya, Mohd Adam Mukhris, 12, masih belajar di sebuah pusat tahfiz di Kelantan.

Masalah dialami keluarga itu mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membantu menguruskan pendaftaran sijil kelahiran dua anaknya.

Sementara itu, Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung masalah yang dialami keluarga tersebut.

Katanya, JPN Terengganu sedia membantu memudahkan proses pendaftaran kelahiran kanak-kanak tersebut.

Beliau memberitahu, pasukan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) telah berkunjung ke rumah pengadu pada pagi Khamis bagi mendapatkan perincian maklumat yang lebih jelas dan tepat

"JPN Terengganu akan berusaha memastikan kanak-kanak itu mendapat dokumen yang lengkap untuk masa depan mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!