Petisyen desak tutup Crackhouse Comedy Club

Petisyen desakan di platform change.org telah berjaya mendapatkan lebih 20,500 tandatangan selepas kira-kira 18 jam petisyen tersebut dilancarkan. (Gambar kecil: Aminuddin)
Petisyen desakan di platform change.org telah berjaya mendapatkan lebih 20,500 tandatangan selepas kira-kira 18 jam petisyen tersebut dilancarkan. (Gambar kecil: Aminuddin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petisyen yang mendesak penutupan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Sehingga jam 6.15 petang pada Jumaat petisyen desakan di platform change.org telah berjaya mendapatkan lebih 20,500 tandatangan selepas kira-kira 18 jam petisyen tersebut dilancarkan.

Petisyen ini susulan beberapa kes menghina Islam dalam persembahan komedi di kelab berkenaan termasuk video seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian setelah mengaku menghafaz al-Quran.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Pembela), Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataannya menggesa orang ramai terus menyokong petisyen berkenaan.

"Petisyen desak tutup Crackhouse Comedy TTDI sudah capai lebih 10,000 sokongan. Alhamdulillah.

“Tutup terus Crackhouse Comedy TTDI!!! Sebarkan petisyen ini ke seluruh pelusuk bandar, kampung dan ceruk.

“Teruskan menyokong dengan berkongsikan pautan petisyen ini, bit.ly/TutupCrackhouseComedy,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya itu pada Jumaat.

Pada Khamis, Pembela melancarkan petisyen berkenaan dan mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menyokong dan menyebarkan petisyen ini supaya Kelab Crackhouse Comedy ini ditutup terus dari beroperasi.

Langkah berkenaan sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan seumpama agar menjaga batas-batas yang berteraskan nilai-nilai dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting.

Aminuddin berkata, DBKL sebelum ini telah mengarahkan penutupan sementara bagi premis ini rentetan kes wanita hina Islam baru-baru ini.

Namun, katanya, Pembela merasakan penutupan sementara itu adalah tidak setimpal memandangkan pengasasnya sendiri sudah banyak melampaui batas seolah-olah sebagai sokongan kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat perkara yang sama di atas platformnya itu.

"DBKL melalui Timbalan Menteri Wilayah memaklumkan bahawa premis ini beroperasi tanpa lesen yang sepatutnya. Maka, ini sudah jadi penguat juga kepada sebab lesen perniagaan ditarik secara mutlak,” katanya lagi.