DBKL gantung operasi kelab komedi

Kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Wilayah Persekutuan.
Kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Wilayah Persekutuan.
A
A
A

SHAH ALAM- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menggantung sementara pengoperasian sebuah premis kelab komedi di Kuala Lumpur, susulan kontroversi persembahan yang dikatakan menghina agama Islam yang diadakan di premis itu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini dan siasatan lanjut serta tindakan terhadap lesen premis berkenaan telah dilakukan serta-merta.

Menurutnya, ia adalah suatu mesej jelas bahawa pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

"Saya berharap insiden sebegini tidak akan berulang lagi di mana-mana premis yang berada dalam Wilayah Persekutuan mahupun di seluruh negara.

"Justeru, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa, di samping laporan orang awam juga sentiasa diperlukan bagi memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang perempuan dipercayai sengaja menghina kesucian agama Islam yang dilakukan di sebuah kelab komedi di sekitar Taman Tun Dr Ismail sehingga mengundang rasa tidak selesa dan terganggu dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.

Difahamkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Penguatkuasaan telah melakukan siasatan awal dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Seksyen 7 yang boleh membawa kepada denda tidak melebihi RM3,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.

Sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah melakukan siasatan melalui Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atau niat jahat memudaratkan keadaan harmoni.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.