Dua nelayan warga asing cedera bergaduh

Bot pukat hanyut kelas A tempatan ditahan Maritim Malaysia di muara Kuala Kurau disyaki melanggar syarat sah lesen. -Foto: Maritim Malaysia
Bot pukat hanyut kelas A tempatan ditahan Maritim Malaysia di muara Kuala Kurau disyaki melanggar syarat sah lesen. -Foto: Maritim Malaysia
A
A
A

PARIT BUNTAR - Dua nelayan warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas bergaduh sesama sendiri di kedudukan 7.8 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang di sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, aduan diterima daripada agen bot pukat tunda kelas C pada jam 5.38 petang, Rabu lalu.

"Setibanya di lokasi terdapat bot nelayan tempatan sedang terapung dan pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki berusia 37 dan 39 tahun cedera.

"Seorang cedera di kepala manakala seorang lagi melecur di bahagian perut. Kedua-duanya ditahan bersama sebilah pisau disyaki digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, mereka dibawa ke Hospital Parit buntar untuk rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sharenliza berkata, dua nelayan termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan dalam pemeriksaan sebuah bot di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau di sini pada Khamis.

Jelasnya, pasukan bot ronda telah mengesan bot pukat hanyut kelas A tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen.

"Bot berkenaan dikendalikan tekong warga tempatan dan kru warga Myanmar masing-masing berumur 27 dan 34 tahun.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kru terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggunakan kru warga asing," katanya.

Mohd Sharenliza berkata, kru, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.

Tambahnya, warga asing terbabit disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.