Sumbangan parti, sumbangan peribadi

Menerusi penjelasan beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan, selagi mana dana itu diberikan atas nama parti dan organisasi, ia masih dibenarkan. - Gambar hiasan
Menerusi penjelasan beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan, selagi mana dana itu diberikan atas nama parti dan organisasi, ia masih dibenarkan. - Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK beberapa minggu lalu politik Malaysia panas dengan isu sumbangan politik.

Dalam perbicaraan kes rasuah ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi baru-baru ini, seorang saksi daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) membongkar mengenai isi kandungan buku lejar syarikat berkenaan.

Berdasarkan jawapan saksi ke-17 tersebut, beliau mendedahkan beberapa lagi nama ahli politik yang terdapat dalam buku lejar 'panas' itu.

Ahli politik ini mempunyai kod nama tersendiri contohnya 'TSM' dalam lejar itu dirujuk sebagai Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain TSM, empat lagi nama yang disebut saksi itu ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Khabarnya ramai jugalah ahli politik yang bimbang jika tiba-tiba nama mereka turut naik dan disebut-sebut oleh saksi.

Susulan pendedahan itu, beberapa ahli politik tampil menafikan mereka menerima sebarang bentuk wang daripada UKSB. Muhyiddin mendakwa beliau sedang bercuti sakit, jadi mana mungkin beliau meminta dan menerima RM1.5 juta.

Khairy turut tampil menolak menerima apa-apa dana politik, dengan saksi UKSB sebelum ini turut mengakui memasukkan sumbangan kepada UMNO Bahagian Rembau.

Kontroversi sumbangan dan dana politik ini turut menarik perhatian ramai tentang apakah garis pemisah kepada sumbangan tersebut.

Bagaimana sumbangan politik itu tidak dianggap sebagai duit kopi untuk mendapat projek kerajaan. Dan bagaimana dana politik itu tidak akan mengheret seseorang pemimpin politik ke muka pengadilan atas tuduhan rasuah.

Setakat ini menerusi penjelasan beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan, selagi mana dana itu diberikan atas nama parti dan organisasi, ia masih dibenarkan.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menegaskan elemen tersebut perlu diperjelas dan diberi perhatian dalam Akta Pendanaan Politik nanti.

Hal ini kerana, dana politik kepada parti turut dibenarkan di luar negara namun dengan syarat sumbangan dan jumlah dana tersebut diisytiharkan.

Persoalannya, adakah parti dan ahli politik berani menggubal Akta Pendanaan Politik serta mengisytihar sumbangan politik mereka?