[VIDEO] Lelaki amuk di lebuh raya dihantar ke Hospital Bahagia

Zainordin diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan mental di HBUK oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat.
Zainordin diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan mental di HBUK oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur yang tular kerana mengamuk di lebuh raya, Ahad lalu diperintah untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, pada Jumaat.

Hakim Rohaida Ishak membenarkan tertuduh, Zainordin Mohamed, 36, menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad membuat permohon itu selepas pihak pendakwaan percaya tertuduh tidak berada dalam keadaan waras berdasarkan pemerhatian ketika dalam tempoh tahanan reman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menendang cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta hingga menyebabkan kerugian RM200.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 253 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan kira-kira jam 6.09 petang, Ahad lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua anak itu didakwa telah memasukkan dadah berbahaya jenis tetrahydrocannabinol (THC) di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, kira-kira jam 3.40 petang pada Selasa.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikenakan perintah pengawasan bagi tempoh tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh yang memandu kereta jenis Toyota Vios didakwa telah menyebabkan kenderaan dihentikan di lorong kanan dalam kedudukan yang mungkin menyebabkan halangan kepada pengguna jalan lain di lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Mahkamah menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi dan status kesihatan mental tertuduh.

Media pada Ahad lalu melaporkan polis sedang menyiasat kejadian dipercayai mengamuk selepas tular gambar seorang lelaki berdiri di lorong kanan lebuh raya.

Pengguna media sosial mendakwa suspek memberhentikan kereta sebelum keluar dan mengamuk sambil memegang rantai emas serta memanjat kereta berdekatan selain menendang kereta pengguna lebuh raya yang lain.

Suspek bagaimanapun berjaya ditahan di rumahnya di Taman Setapak Permai, Kuala Lumpur pada Isnin dan hasil ujian urin mendapati dia positif dadah jenis ganja.

@sinarharianonline Tertuduh perlu jalani pemeriksaan selama sebulan #fyp#TrendingNewsMalaysia#BuletinTikTok#TikTokNews#Penganggur#HospitalBahagia original sound - Sinar Harian