Laporan Suhakam digunakan jika mempunyai asas: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Juara Kategori Lelaki, Rhaasrikanesh Kanavathi (lima, kiri) dan Juara Kategori Wanita Winnie Ng Yu Xuan (tiga, kanan) pada Kejohanan TSM Golf Challenge kali Ke-11 di TPC Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Juara Kategori Lelaki, Rhaasrikanesh Kanavathi (lima, kiri) dan Juara Kategori Wanita Winnie Ng Yu Xuan (tiga, kanan) pada Kejohanan TSM Golf Challenge kali Ke-11 di TPC Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laporan yang dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung insiden Wang Kelian, Perlis, boleh digunakan sekiranya mempunyai asas, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan untuk merujuk laporan itu akan ditentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

"Kalau ada laporan mungkin kita boleh guna sebagai asas dan sama ada RCI ingin rujuk ‘finding’ (penemuan) yang dibuat Suhakam, itu terserah kepada mereka.

"(Yang penting laporan) mesti kena ada asas dan kriteria tertentu yang digunakan untuk menentukan maklumat itu sahih dan mempunyai asas yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas penutupan '11th TSM (Tan Sri Muhyiddin) Golf Challenge' di sini hari ini.

Pada kejohanan itu, Rhaasrikanesh Kanavath diumumkan sebagai juara bagi kategori lelaki manakala Winnie Ng Yu Xuan pula juara bagi kategori wanita.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata RCI diberi masa enam bulan untuk menjalankan siasatan berhubung insiden itu. "Suruhanjaya RCI, saya kira telah jalankan tugas hampir tiga hingga empat minggu dan kita beri tempoh enam bulan untuk mereka selesaikan kerja. Saya tidak boleh mendahului apa hasil yang akan dicapai dalam siasatan dibuat RCI,” katanya.

Semalam, laporan penyiasatan mengenai Insiden Wang Kelian dikeluarkan oleh Suhakam dan pertubuhan hak asasi manusia, Fortify Rights.

ARTIKEL BERKAITAN: RCI perlu telus terhadap laporan Wang Kelian: Suhakam, NGO

Artikel Berkaitan:

Laporan itu menyarankan agar tindakan diambil terhadap individu dari agensi penguatkuasaan sekiranya terbukti terdapat kelewatan dalam penyiasatan terhadap insiden Wang Kelian atau dengan sengaja dan berhasrat memusnahkan bukti.

Pada 5 Mac, Bernama melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri mengumumkan tujuh anggota RCI yang diketuai Arifin, untuk melihat kepada penemuan kem-kem sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis. Mengulas mengenai kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Muhyiddin berkata beliau tidak boleh membuat sebarang andaian memandangkan proses inkues masih berjalan.

"Kes ini masih lagi di peringkat inkues dan saksi-saksi telah dipanggil, saya tidak boleh buat andaian sehingga semua proses selesai.

"Itu sebabnya kita buat inkues supaya dapat satu laporan yang profesional dan keputusan yang dibuat nanti puaskan hati semua pihak,” katanya.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember. -Bernama