Sindiket Ibu Yuli, Samsul aktif seludup PATI

Maritim Selangor mengesan modus operandi sindiket dan berjaya menahan PATI menerusi pelbagai siri operasi.
Maritim Selangor mengesan modus operandi sindiket dan berjaya menahan PATI menerusi pelbagai siri operasi.
A
A
A

KLANG - Dua sindiket yang aktif dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu Ibu Yuli dan Samsul kini dalam radar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten V Siva Kumar berkata, sindiket itu dikesan bergiat di Selangor dan negara jiran sejak November tahun lalu.

Katanya, siasatan mendapati sindiket Ibu Yuli yang diketuai warga tempatan akan berhubung terus dengan sindiket Samsul (warga Indonesia) yang berada di Tanjung Balai, Indonesia.

“Sindiket ini bergerak licik. Bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa, ketua-ketua sindiket ini didapati menjalani kehidupan seperti biasa dalam kalangan orang awam dan tidak menonjolkan kemewahan.

“Siasatan awal mendapati dua sindiket ini telah mula aktif sejak bulan November 2021,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Ujar beliau, pada tahun lalu, Maritim Selangor berjaya menumpaskan sindiket PATI dikenali sebagai ‘Ibu Ani’.

Katanya, tindakan masih dijalankan untuk mengenal pasti beberapa sindiket lain yang dikenal pasti selain ‘Ibu Yuli’ dan ‘Samsul’.

Dedah beliau, menerusi Op Benteng dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada April lalu, dua kes kejayaan direkodkan membabitkan tangkapan 44 migran, empat penjaga serta dua pengangkut.

Selain itu katanya, bagi tempoh lima bulan tahun ini sejak Januari, seramai 59 PATI terdiri daripada 46 lelaki, 12 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki telah ditahan.

1) Statistik Maritim Negeri Selangor tangkapan PATI tahun ini.

(Jan - Mei)

Jumlah

- 59 PATI

Pecahan

- 49 Indonesia

- 8 Myanmar

- 2 Thailand

2) Op Benteng (Maritim Selangor & PDRM)

Jumlah

- 50 orang

Pecahan

- 44 migran

- 4 penjaga

- dua pengangkut

3) Aliran pergerakan sindiket- Ketua/Dalang > ejen > pemilik bot/tonto/pengangkut