Sindiket ah long tumpas, sembilan ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menumpaskan satu kumpulan sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long selepas menahan sembilan lelaki dalam Op Cantas Khas yang dijalankan pada 24 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun itu ditahan selepas didapati terlibat dalam beberapa kes khianat simbah cat, khianat dengan api dan ugutan jenayah di sekitar negeri ini.

Menurutnya, beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pemberian pinjaman wang tanpa lesen turut dirampas.

"Dalam tangkapan itu, kita turut menahan ketua kumpulan yang berusia 28 tahun yang mana mereka ini aktif memberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri ini.

"Mereka ini akan membuat ugutan dengan menyimbah cat atau membakar barangan di rumah peminjam sekiranya mereka gagal membayar dalam tempoh yang ditetapkan," katanya pada sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Tambah beliau, tujuh daripada yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan dadah, pemberian pinjaman dan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 77 kertas siasatan tatatertib dibuka Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Pulau Pinang berhubung kesalahan melibatkan pegawai dan anggota polis bagi tahun ini sehingga Mei.

"Daripada jumlah tersebut, kes salah laku paling tinggi dicatatkan iaitu 48 kesalahan membabitkan enam pegawai dan 69 anggota.

"Kes-kes lain adalah kesalahan jenayah iaitu 12 masing-masing melibatkan seorang pegawai dan 31 anggota, 11 kes dadah melibatkan anggota dan kesalahan tidak hadir bertugas melibatkan dua pegawai dan empat anggota," katanya.

Katanya, JIPS Pulau Pinang sentiasa menjalankan siasatan tatatertib yang telus dan adil dalam memastikan tindakan sewajarnya ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam kesalahan jenayah tersebut.