Siasat segera dakwaan penjualan data peribadi 22 juta rakyat Malaysia

Gambar kecil: Syahredzan Johan
Gambar kecil: Syahredzan Johan
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa digesa untuk segera menjalankan siasatan yang telus dan teliti berhubung dakwaan penjualan data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia dalam sebuah forum maya.

Pengerusi Biro Media Sosial DAP, Syahredzan Johan berkata, menurut penjual tersebut, data peribadi itu adalah maklumat daripada pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, data peribadi berkenaan merangkumi antara lain, nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat penuh dan gambar-gambar.

“Ini bukan kali pertama data peribadi rakyat Malaysia ditawarkan untuk dijual kepada umum.

“Pada September tahun lepas, terdapat dakwaan berlakunya kebocoran data peribadi melibatkan empat juta data yang terkandung dalam pangkalan data JPN dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan terdapat pelanggaran data milik agensi kerajaan membabitkan JPN dan SPR, di mana penjual dalam talian mendakwa menjual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan milik 800,000 individu.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, ia sudah tentu akan menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

Katanya, sekiranya benar terdapat kebocoran data peribadi daripada pangkalan data jabatan dan badan awam, ia merupakan satu pelanggaran keselamatan yang serius.

“Ini juga mendedahkan orang ramai kepada pelbagai risiko termasuk penipuan, kecurian identiti dan juga menjejaskan keselamatan negara.

“Ia menimbulkan sekali lagi persoalan tentang keselamatan dan integriti data dan maklumat yang disimpan dalam pangkalan data yang dikendalikan oleh badan-badan awam seperti JPN dan SPR,” jelasnya.

Ujarnya, kerajaan tidak boleh memandang enteng terhadap dakwaan-dakwaan seperti itu, kerana ia melibatkan keyakinan orang awam terhadap keselamatan data peribadi yang disimpan dalam pangkalan data badan-badan berkanun, jabatan dan agensi kerajaan.

“Sistem keselamatan data bagi entiti seperti JPN dan SPR harus sentiasa dipertingkatkan untuk memastikan bahawa maklumat dan data yang disimpan adalah selamat.

“Untuk tujuan ini, kerajaan juga digesa untuk menyemak semula keberkesanan sistem keselamatan bagi penyimpanan data peribadi rakyat Malaysia,” tegasnya.