X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

[VIDEO] Lebih 22 juta data peribadi rakyat Malaysia didakwa dijual

Pangkalan data diperoleh daripada Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) MyIdentity JPN dan laman web SPR.
A
A

SHAH ALAM - Terdapat pelanggaran data milik agensi kerajaan membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di mana penjual dalam talian mendakwa menjual data peribadi lebih 22 juta rakyat Malaysia serta swafoto pengesahan kad pengenalan milik 800,000 individu.

Memetik laporan portal teknologi dan telekomunikasi, Soyacincau pada Selasa, penjual itu mendakwa sebagai pihak yang sama di sebalik penjualan data peribadi milik empat juta rakyat Malaysia tahun lalu.

Tangkap layar Twitter soyacincau
Tangkap layar Twitter soyacincau

Menurut portal itu juga, pangkalan data pertama jualan didakwa mengandungi 22.5 juta rekod yang diperoleh daripada Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) MyIdentity JPN, meliputi seluruh populasi dewasa di Malaysia yang dilahirkan antara 1940 hingga 2004.

“Rekod tersebut bukan sahaja mengandungi nama penuh, tetapi juga nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, alamat penuh, jantina, bangsa, agama, dan gambar dalam kad pengenalan.

“Bagi membuktikan bahawa data tersebut adalah sah, penjual turut menyediakan sampel rekod milik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin. Turut dilampirkan gambar kad pengenalan beliau.

“Keseluruhan pangkalan data bersaiz 160GB dan dijual dengan harga RM43,903,” kata portal tersebut.

Mengulas lanjut, laporan itu turut mendakwa bahawa beberapa minggu sebelum itu, penjual yang sama menyiarkan tawaran untuk menjual pangkalan data yang didakwa mengandungi maklumat 802,259 rakyat Malaysia yang diperoleh daripada laman web SPR.

Katanya, penjual terbabit menjual gambar sebenar kad pengenalan serta imej elektronik Kenali Pelanggan Anda (eKYC) individu yang mengambil swafoto sambil memegang kad pengenalan mereka.

“Melihat laman web SPR, imej ini digunakan untuk tujuan pengesahan semasa mendaftar sebagai pemilih baharu. Seluruh pangkalan data termasuk foto eKYC bersaiz 67GB dan mereka menjualnya dengan harga RM8,780,” kata portal itu.

Dengan tambahan gambar eKYC yang didakwa diperoleh daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, laporan itu berkata, rakyat Malaysia boleh menjadi mangsa kecurian identiti.

“Kad pengenalan dan swafoto pengesahan boleh disalahgunakan untuk memohon produk dan perkhidmatan tanpa kebenaran mereka,” katanya.

Tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, JPN mengesahkan tiada kebocoran data, susulan laporan penjualan data peribadi milik empat juta rakyat Malaysia.

Beliau berkata, sistem kawalan keselamatan data adalah selamat dan semua maklumat dilindungi.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!