[VIDEO] Klip video raya usahawan kosmetik sudah dirujuk kepada Jakim

Klip video raya yang dimuat naik oleh seorang usahawan kosmetik di negara ini sudah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa kepada pihak berkuasa. (Gambar kecil: Idris)
Klip video raya yang dimuat naik oleh seorang usahawan kosmetik di negara ini sudah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa kepada pihak berkuasa. (Gambar kecil: Idris)
A
A
A

PUTRAJAYA - Klip video raya yang dimuat naik oleh seorang usahawan kosmetik di negara ini sudah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dibawa kepada pihak berkuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

Idris berkata, jika diberi peluang, beliau juga boleh bertemu mata dengan dengan empunya video sebagai tanda ingatan dan ukhuwah sesama Islam.

"Saya mengambil maklum ada beberapa video yang tular berkenaan klip video raya dimuat naik oleh seorang ahli perniagaan yang tersohor di Malaysia.

"Saya terpanggil untuk mengulas isu ini kerana pada ketika semua umat Islam pastinya berasa teruja untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan mencari sebanyaknya pahala yang ALLAH tawarkan kepada mereka yang beriman, seolah isu ini saya khuatir menenggelamkan keghairahan umat Islam dalam mengejar rahmat taqwa ini," katanya.

Menurutnya, terdapat perdebatan dan perbincangan agak panas dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap klip video yang diiringi watak penari yang jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam.

Tambahnya, ia dilihat kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal kelak setelah menempuh ujian dan tarbiyah pada bulan Ramadan.

"Nasihat saya dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh di keluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media, atau ia boleh di privasi hanya untuk tatapan peribadi pemilik video.

"Saya yakin ia mampu memberi jiwa yang besar dan hati lebih lapang jika kita patuh pada ajaran dan nilai agama," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya untuk menjaga sensitiviti terhadap perkara yang berkaitan dengan agama serta menjaga batasan terhadap hiburan mahu ditonjolkan kepada masyarakat.

"Apatah lagi negara kita baru nak pulih daripada ingatan ALLAH terhadap bala Covid-19 yg melanda seluruh dunia.

"Peluang dan rezeki yang ALLAH berikan sebagai seorang yang berpengaruh, manfaatkanlah sebaiknya untuk mengajak umat Islam untuk lebih takutkan ALLAH dan menjauhi tingkahlaku yang menjarakkan diri kita dengan ketaqwaan dan reda ALLAH SWT, lebih-lebih lagi kita berhadapan dengan bulan yang cukup mulia," ujarnya.

Sebelum ini, warga maya mengecam tindakan usahawan berkenaan yang memuat naik klip video raya memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan perwatakan lembut.

Ia turut mendapat kritikan daripada pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menyifatkan video muzik berkenaan seolah-olah mempromosikan gaya hidup bebas dan songsang.

Selain itu, selebriti dan senior koreografi, Adam Corrie turut terkejut melihat video muzik berkenaan dan tidak bersetuju dengan konsep yang diketengahkan.