Ruslan Khalid Ketua Polis Negeri Sembilan baharu

Zaini menyaksikan penyerahan tongkat kuasa daripada Mohamad (kiri) kepada Ruslan (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini. Foto Bernama
Zaini menyaksikan penyerahan tongkat kuasa daripada Mohamad (kiri) kepada Ruslan (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Setiausaha Polis Malaysia, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Ruslan Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohamad Mat Yusop yang dilantik sebagai Ketua Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini dengan disaksikan oleh Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass.

Turut berlangsung, majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri Sembilan antara Datin Norlela Idris dengan Datin Rohayah Harun.

Ruslan, yang ditemui pemberita selepas majlis itu, berharap dapat menjalankan tugas dengan amanah dan baik selain memastikan kelancaran pentadbiran serta meneruskan kepimpinan terdahulu dengan penuh kredibiliti.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1987 dan pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran) serta Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.

Sementara itu, Zaini ketika sidang media mengulangi bahawa hanya 10 peratus daripada keseluruhan pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibenarkan bercuti sempena Aidilfitiri kali ini manakala selebihnya perlu menjaga keselamatan dan memastikan kelancaran pada musim cuti perayaan nanti.

"Bagaimanapun, bukan semua unit dalam PDRM bercuti. Jawatan atau penugasan kritikal masih menjalankan tugas seperti biasa.

"Sebagai contoh, anggota trafik yang mengawal lalu lintas serta polis buat rondaan untuk mencegah jenayah supaya orang ramai dapat beraya dengan selesa dan aman," katanya. - Bernama