Elak jadi mangsa 'scammer'

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan orang awam berkongsi maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali tanpa usul periksa boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atau 'scammer'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya mengesan cubaan untuk mendapatkan data peribadi (phishing) menerusi hantaran mesej di media sosial.

"Berdasarkan risikan, pengguna laman sosial akan menerima mesej daripada individu yang tidak dikenali yang menawarkan geran kewangan yang dinamakan 'Home Improvement Grant'.

"Geran tersebut didakwa sebagai program yang dikendalikan beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama bank dunia untuk membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, individu berminat diminta untuk memberikan maklumat seperti nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa maklumat peribadi seperti yang diminta di dalam borang permohonan geran tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Kamarudin berkata, pihak polis masih belum menerima sebarang aduan daripada individu yang menjadi mangsa sindiket terbabit.

"Namun, tindakan mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali adalah satu tindakan yang berbahaya dan orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan secara terus dengan agensi atau kementerian yang bertanggungjawab bagi urusan permohonan geran daripada kerajaan.

"Jangan percaya dengan mesej yang diterima dari pihak ketiga. Sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial boleh dirujuk kepada CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599,"ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!