Sembilan tahun dukung bapa, kini perlu lepaskan 'pergi'

Mohd Farihan bersama bapanya, Ab Hamid ketika ditemui di Kampung Gong Pak Jin, Kuala Nerus dua tahun lalu
Mohd Farihan bersama bapanya, Ab Hamid ketika ditemui di Kampung Gong Pak Jin, Kuala Nerus dua tahun lalu
A
A
A

KUALA NERUS - Tanggal 15 Ramadan 1443 hijrah menjadi detik yang tidak dapat dilupakan bagi Mohd Farihan Ab Hamid, 31, selepas kehilangan bapa tersayang yang dijaga bagaikan bayi selama sembilan tahun.

Bapanya, Ab Hamid Mat Hussin, 64, perlu didukung setiap masa kerana pergerakannya terbatas akibat lumpuh sebelah kiri badan, meninggal dunia kira-kira jam 5 pagi pada Ahad di Kampung Gong Pak Jin, di sini.

"Sehari sebelum meninggal dunia dia demam. Saya tak rasa demam tu melarat sebab nampak dia macam biasa. Malam semalam (Ahad) dekat jam 3 pagi saya terjaga dan pergi tidur dekat dia. Waktu tu dia masih boleh bercakap dan berbual macam biasa.

"Dekat jam 5 pagi apabila saya kejutkan dia bersahur dia sudah tidak menyahut. Saya periksa, badan dia sejuk. Bila tengok dekat dan periksa denyutan nadi rupanya dia sudah tiada," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Mohd Farihan, bapanya yang telah lengkap tiga dos vaksin pernah dijangkiti Covid-19 pada 17 April 2021 namun tidak teruk dan hanya mengalami demam dua hingga tiga hari.

Urusan pengebumian Allahyarham Ab Hamid disempurnakan pada Ahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Keruak di Besut.
Urusan pengebumian Allahyarham Ab Hamid disempurnakan pada Ahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Keruak di Besut.

"Sebelum meninggal dunia dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Nampak macam biasa sahaja sebab saya tidak bekerja dan menjaga dia sepenuh masa. Sempat juga saya penuhi segala hajat dan keinginan dia untuk keluar berjalan-jalan menaiki motosikal seperti biasa.

"Saya rasa sedih, rasa pilu sebab saya masih tidak puas tinggal bersama dia walaupun sembilan tahun jaga dan dukung dia kemana-mana sahaja. Apalah sangat pengorbanan saya kerana pengorbanan dia kepada saya lebih besar dan tak terbalas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Ab Hamid selamat dikebumikan pada Ahad di Tanah Perkuburan Islam Felcra Keruak di Besut.

Dua tahun lalu, kisah Mohd Farihan yang tidak pernah berenggang menjaga bapanya dengan mendukung kemana-mana sahaja termasuk menaiki motosikal pernah tular di media sosial.

Kisah itu ditularkan seorang pengguna laman sosial Facebook setelah bertemu Mohd Farihan membawa bapanya dengan menunggang motosikal ke sebuah pasar raya.

Perkongsian itu mendapat perbagai reaksi ramai malah ada yang menyatakan pernah bertemu Mohd Farihan melayani kemahuan bapanya yang ingin keluar berjalan-jalan menaiki motosikal ke kedai makan.