Polis lepaskan sembilan das tembakan selepas dilanggar

Video tular memaparkan insiden anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki dua penjenayah di Kepong, pada Isnin.
Video tular memaparkan insiden anggota polis melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki dua penjenayah di Kepong, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis melepaskan sembilan das tembakan ke arah tayar kenderaan dinaiki dua penjenayah yang melarikan diri selepas diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di Kepong di sini, pada Isnin.

Terdahulu video berdurasi 13 saat yang memaparkan kejadian anggota polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta Proton Wira di Jalan Kepong, tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, pihaknya menerima makluman berkenaan pasukan polis mengejar sebuah Proton Wira berwarna hijau dari Pintasan Segambut melalui Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong di sini.

"Hasil siasatan awal mendapati semasa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sedang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota URB cuba memberhentikan kereta tersebut tetapi suspek bertindak melarikan diri dan dipercayai telah melanggar kereta orang awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.

Mohd Shuhaily menunjukkan individu yang boleh membantu siasatan kes polis mengejar penjenayah di Kepong, pada Isnin.
Mohd Shuhaily menunjukkan individu yang boleh membantu siasatan kes polis mengejar penjenayah di Kepong, pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata, suspek kemudian bertindak mengundurkan kenderaannya dan melanggar anggota URB sehingga menyebabkan motosikal mengalami kerosakan.

"Anggota URB tersebut pula mengalami kecederaan di kaki. Kedua-dua anggota URB telah melepaskan sebanyak sembilan das tembakan ke arah tayar kenderaan dinaiki suspek," katanya.

Menurutnya, kenderaan itu kemudian terbabas di tepi jalan dan kedua-dua suspek berjaya melarikan diri.

"Susulan kejadian itu, kita sedang mengesan seorang lelaki, O Ganesan berusia 40 tahun bagi membantu siasatan.

"Semakan mendapati Ganesan mempunyai tiga rekod membabitkan kes jenayah dan lapan rekod melibatkan kes dadah," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 / 353 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian dan mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.