Inovasi patin tempoyak jadi taruhan Karnival Pesona Wanita DUN Dong

Konsep inovasi dalam masakan warisan Pahang menjadi taruhan utama menerusi Pertandingan Memasak Patin Tempoyak sempena Karnival Pesona Wanita DUN Dong 2026 di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub pada 29 November ini.
Konsep inovasi dalam masakan warisan Pahang menjadi taruhan utama menerusi Pertandingan Memasak Patin Tempoyak sempena Karnival Pesona Wanita DUN Dong 2026 di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub pada 29 November ini.
A
A
A

KUANTAN – Konsep inovasi dalam masakan warisan Pahang menjadi taruhan utama menerusi Pertandingan Memasak Patin Tempoyak sempena Karnival Pesona Wanita DUN Dong 2026 di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub pada 29 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Diyana, Siti Diyana Mohd Amin berkata, pertandingan itu memberi peluang kepada peserta mengetengahkan kreativiti dalam mengolah hidangan patin tempoyak tanpa mengetepikan cita rasa asal dan identiti masakan tradisional negeri ini.

Menurutnya, penganjur menyediakan ikan patin dan tempoyak untuk setiap pasukan, manakala bahan lain serta peralatan memasak perlu dibawa sendiri oleh peserta.

“Sebanyak 22 pasukan mengambil bahagian dengan setiap pasukan terdiri daripada tiga peserta. Mereka diberi kebebasan menyediakan hidangan patin tempoyak sama ada berkuah atau tanpa kuah dalam tempoh satu jam 30 minit.

“Ikan patin dan tempoyak perlu kekal sebagai bahan utama, selain cita rasa hidangan berkenaan masih jelas walaupun peserta melakukan olahan baharu.

“Inovasi yang diketengahkan tidak semestinya bermaksud menambah bahan luar biasa, sebaliknya penambahbaikan dari segi tekstur ikan, pengolahan kuah atau teknik memasak juga boleh menunjukkan kemahiran dan kreativiti peserta,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pertandingan memasak itu merupakan antara pengisian Karnival Pesona Wanita DUN Dong 2026 yang dianjurkan bersama Akademi Diyana dan Wanita DUN Dong.

Siti Diyana berkata, dua anugerah khas turut diperkenalkan iaitu Anugerah Inovasi Resipi Terbaik dan Persembahan Hidangan Terbaik bagi mengiktiraf kreativiti peserta.

Tambahnya, penilaian pertandingan melibatkan keseluruhan 100 markah merangkumi rasa dan keseimbangan (40 markah), ikan patin dan tempoyak (20 markah), teknik dan kreativiti (20 markah), serta kebersihan dan persembahan hidangan (masing-masing 10 markah).

“Dua chef profesional anak jati Pahang, iaitu Chef Eksekutif Muhammad ‘Adib Zakaria dan Chef Siti Safura Mohd Tawil yang mempunyai pengalaman di luar negara serta restoran sendiri, akan menilai hasil masakan peserta bersama Saiful Samsudin, usahawan Patin Gulai Masam di Dong, Raub.

“Kami menjemput mereka kembali ke Pahang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan peserta tempatan.

“Gabungan pengalaman ketiga-tiga juri ini penting bagi menilai kreativiti peserta, selain memastikan keistimewaan masakan warisan Pahang terus dikekalkan,” katanya.

Siti Diyana
Siti Diyana

Dalam pada itu, Siti Diyana berkata, penganjuran karnival berkenaan tercetus daripada idea Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal bagi meraikan wanita setempat, selain memberi pendedahan kepada mereka mengenai bidang kemahiran yang berpotensi menjana pendapatan.

Menurutnya, program itu turut menyediakan kursus tatarias dan solekan, penggayaan sanggul serta hijab hasil cadangan isteri Fadzli yang dikendalikan tenaga pengajar Akademi Diyana.

Beliau berkata, lima pertandingan utama dianjurkan iaitu Memasak Patin Tempoyak, Deco Sirih Junjung dan Hantaran Coklat, Ratu Cantik Orang Asli, Ratu Kebaya bagi belia dan wanita berusia 16 hingga 40 tahun serta Pesona Wanita Pakaian Tradisional Malaysia bagi peserta berusia 40 tahun ke atas.

“Pertandingan Ratu Cantik Orang Asli mengetengahkan identiti dan warisan budaya komuniti itu menerusi aksesori serta busana tradisional, di samping membina keyakinan peserta untuk tampil di hadapan masyarakat.

“Pengadilan pertandingan fesyen dan busana pula melibatkan wakil komuniti Orang Asli serta tenaga pengajar Kolej Komuniti Raub dan Kolej Komuniti Kuantan, bersama Safiah Abbas, pengasas Akademi Diyana yang juga juri solekan,” katanya.

Siti Diyana berkata, sebagai anak Pahang, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Diyana diberikan tanggungjawab untuk bersama-sama menganjurkan karnival tersebut.

Menurutnya, penglibatan itu membolehkan Akademi Diyana membawa pengalaman, kepakaran latihan dan jaringan industri untuk dimanfaatkan oleh masyarakat negeri sendiri.

“Kami berharap kerjasama antara kepimpinan setempat, institusi latihan dan pengamal industri ini dapat membuka ruang kepada wanita untuk membina keyakinan serta mengembangkan kemahiran mereka.

“Karnival ini turut mendapat sokongan 32 sukarelawan daripada Kolej Komuniti Temerloh, Raub, Lipis dan Bentong yang membantu urusan peserta serta kelancaran program,” katanya.

Tambahnya, Kolej Komuniti Raub turut bekerjasama dalam penglibatan sukarelawan serta pengeluaran sijil penyertaan bagi semua pertandingan, manakala HRD Corp terlibat dalam pengeluaran sijil penyertaan kepada peserta Kelas Tatarias dan Sanggul Rambut.

Siti Diyana berkata, karnival itu turut memperkenalkan Anugerah Ikon Wanita Dong buat julung kali menerusi empat kategori iaitu Keusahawanan, Kepimpinan dan Komuniti, Kemahiran dan Pendidikan serta Inspirasi dan Ketabahan.

Menurutnya, setiap kategori Ikon Wanita Dong akan meraikan tiga penerima, manakala Anugerah Kampung Terbaik turut menyediakan tiga tempat kemenangan bagi menghargai semangat kerjasama serta penglibatan komuniti.

“Kami mahu wanita yang diiktiraf ini menjadi teladan kepada wanita lain untuk terus berusaha, mengembangkan kebolehan dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, karnival itu turut diserikan dengan dua persembahan komuniti Orang Asli, tarian Wanita dan Puteri UMNO, persembahan Wanita UMNO, Dikir Barat Jelu serta nyanyian daripada pengacara dan penyanyi jemputan.

Pengacara majlis dan penyanyi jemputan yang terlibat turut mengetengahkan bakat anak Pahang, termasuk penyampai radio Rakita FM dan ERA.

Selain itu, Senam Aerobik Kebaya, pameran dan jualan turut diadakan. Cabutan bertuah secara berperingkat pula menawarkan hadiah utama berupa barang kemas emas 916, motosikal elektrik dan telefon bimbit.

“Hadiah utama cabutan bertuah akan disampaikan semasa majlis penutup.

“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan karnival yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi urus setia Akademi Diyana di talian 012-300 9037,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!