5,000 pelari gegar Bandar Diraja Klang

KLANG – Kira-kira 5,000 peserta termasuk dari luar negara menyertai Royal Klang Marathon 2026 yang berlangsung meriah di Bandar Diraja Klang, sekali gus mempromosikan amalan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, acara anjuran pihaknya dengan kerjasama Monzo Events itu mempertandingkan empat kategori iaitu 5 kilometer (km), 10km, 21km dan 42km.
Menurut kenyataan itu, Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain menyempurnakan pelepasan peserta bagi acara yang turut dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ketiga MBDK.
“Selain menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sukan, penganjuran maraton berkenaan turut menjadi platform mempromosikan Klang sebagai Bandar Diraja dan destinasi pelancongan,” menurut kenyataan itu.

Menerusi acara itu, peserta berpeluang mengenali dengan lebih dekat tarikan bandar berkenaan termasuk sektor perniagaan, kepelbagaian makanan serta produk tempatan.
Penyertaan daripada pelbagai latar belakang dan negara turut menyumbang kepada kemeriahan acara, selain membuka ruang untuk memperkenalkan keunikan serta potensi Klang kepada pengunjung luar.
Dalam pada itu, elemen kelestarian turut diberi perhatian apabila pingat yang diberikan kepada peserta dihasilkan menggunakan bahan kitar semula.
MBDK turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja serta peserta, petugas dan sukarelawan yang menjayakan penganjuran acara berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
