Bakar al-Quran tindakan melampau, tidak patut berlaku

Simbolik penyerahan peruntukan kewangan lebih RM 95 juta kepada Kelantan oleh Idris (dua dari kiri) kepada Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Simbolik penyerahan peruntukan kewangan lebih RM 95 juta kepada Kelantan oleh Idris (dua dari kiri) kepada Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan provokasi oleh pemimpin Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Linkoping, Sweden disifatkan tindakan melampau yang tidak sepatutnya berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, setiap individu atau penganut sesebuah agama hendaklah menghormati penganut agama yang lain.

“Perlakuan membakar al-Quran tersebut tidak patut berlaku kerana agama Islam sendiri mengajarkan bukan setakat tidak boleh membakar kitab agama lain, malahan menghina sembahan atau tuhan agama lain pun tidak boleh.

“Dalam ajaran setiap agama juga menuntut untuk saling menghormati agama yang lain dan tidak ‘meniupkan’ perkara yang bersifat provokasi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2022 di Dewan Jubli Perak di Panji, di sini, pada Ahad.

Majlis dirasmikan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Idris berkata, orang Islam kadang-kala banyak perkara yang golongan itu tidak berapa sensitif tetapi bukan membabitkan perihal agama.

“Kalau dalam hal agama, umat Islam amat sensitif,” katanya.

Dalam perkembangan lain berkaitan projek Harta Anda Untuk Semua (MyHAUS), beliau berkata, Lembaga Tabung Haji bersetuju untuk menaja dana bagi pembinaan rumah baharu kepada asnaf di setiap negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak dua buah rumah akan dibina di setiap negeri melalui kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ).

“Kelantan dan Kedah dipilih bagi melaksanakan projek rintis MyHAUS Tahun 2022 dan kerjasama ini akan merealisasikan matlamat untuk mewujudkan ekosistem sosial baharu, peluang agihan faktor ekonomi yang lebih baik, seterusnya signifikan bermula daripada sebuah keluarga yang baik dan pembentukan satu sistem masyarakat unggul,” katanya.

Sementara itu, katanya, kuota guru takmir di seluruh negara ditambah seramai 1,000 orang menjadikan jumlah keseluruhan pada tahun 2022 ini seramai 5,000 orang.

“Pertambahan kuota ini melibatkan kenaikan jumlah peruntukan sebanyak RM 10.8 juta setahun dan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 54 juta setahun.

“Tahun ini bayaran khas RM500 secara one-off kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di Kelantan seramai 1,170 orang penerima yang melibatkan peruntukan sebanyak RM585,000 akan disalurkan sebelum Aidilfiti nanti,” katanya.