Malaysia gesa Sweden ambil tindakan terhadap pelaku bakar al-Quran

Salwan Momika yang berasal dari Iraq mendakwa, tindakannya membakar al-Quran sebagai menekankan kepentingan kebebasan bersuara. - Foto Facebook/Abiyam Plus
Salwan Momika yang berasal dari Iraq mendakwa, tindakannya membakar al-Quran sebagai menekankan kepentingan kebebasan bersuara. - Foto Facebook/Abiyam Plus
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap pelaku yang membakar kitab suci al-Quran di Stockholm.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, Sweden juga didesak mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara itu.

"Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Sweden membenarkan perbuatan provokatif membakar al-Quran pada 28 Jun 2023 di Stockholm.

"Tindakan mencemarkan al-Quran tatkala umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha merupakan penghinaan kepada umat Islam di seluruh dunia dan melanggar prinsip sejagat menghormati dan memahami semua agama dan kitab suci mereka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, seorang lelaki berasal dari Iraq dilaporkan bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm sehingga mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perbuatan biadab itu dilakukan di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Aidiladha.

Wisma Putra menegaskan, ia merupakan kali kedua tindakan keji sedemikian berlaku di Sweden tahun ini selepas insiden pertama pada Januari lalu.

"Keputusan mahkamah Sweden untuk membenarkan perbuatan keji ini berulang lagi bukanlah satu langkah yang progresif dalam usaha untuk meningkatkan rasa hormat dan persefahaman demi kebaikan umat manusia.

"Sebaliknya, langkah tersebut adalah seumpama membenarkan jenayah kebencian dan provokasi jahat yang bertujuan untuk menyebarkan kebencian agama dan hasutan kepada keganasan, yang merosakkan usaha keamanan dan ketamadunan," ujarnya.

Menurutnya, Malaysia yakin ketiadaan sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Sweden dalam membendung tindakan provokatif tersebut boleh membawa kesan yang buruk terhadap hubungannya dengan umat Islam di seluruh dunia.

Justeru, Wisma Putra menegaskan, Malaysia mengulangi gesaan supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) mengambil tindakan segera dalam menggalakkan penghormatan dan perlindungan sepenuhnya ke atas kitab suci agama serta memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakar al-Quran: Malaysia kutuk keputusan pihak berkuasa Sweden

Arab Saudi kecam, kutuk tindakan bakar al-Quran di Sweden

'Bakar al-Quran perbuatan yang keji' - Turki kutuk tindakan Sweden