Bakar al-Quran: Panggil segera Duta Sweden ke Malaysia

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memanggil Duta Sweden ke Malaysia bagi menyatakan bantahan keras terhadap kejadian membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm pada Rabu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kejadian yang berulang kali berlaku itu mesti ditolak dan dihentikan kerana jelas merangsangkan rasa kebencian, perkauman serta bertentangan dengan usaha-usaha antarabangsa.

Tambahnya, adalah malang apabila kerajaan Sweden sendiri tidak bertindak dengan sepatutnya dalam menyuburkan nilai-nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan terhadap ekstremisme apabila membenarkan insiden sedemikian berlaku lagi.

“Saya sebagai Ketua Pembangkang mengecam sekeras-kerasnya tindakan ekstremis, biadab dan keji Salwan Momika yang membakar kitab suci al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm, Sweden, semasa sambutan Hari Raya Aidiladha pada Rabu.

“Pada masa yang sama, saya dan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) juga melahirkan rasa kecewa yang teramat sangat dengan sikap kerajaan Sweden yang membenarkan insiden tersebut berlaku walaupun sedar perbuatan Momika itu boleh mencetuskan perbalahan agama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, seorang lelaki berasal dari Iraq dilaporkan bertindak membakar al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm sehingga mencetuskan kemarahan Turkiye ketika Sweden berusaha menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perbuatan biadab itu dilakukan di luar masjid utama di ibu negara Sweden menjelang sambutan Aidiladha.

Insiden itu dilaporkan berlaku selepas polis meluluskan permit membenarkan lelaki itu melakukan perbuatan demikian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakar al-Quran: Malaysia kutuk keputusan pihak berkuasa Sweden

Arab Saudi kecam, kutuk tindakan bakar al-Quran di Sweden

'Bakar al-Quran perbuatan yang keji' - Turki kutuk tindakan Sweden