Tiada kes positif baharu Demam Babi Afrika di Negeri Sembilan

Tiada kes positif baharu membabitkan penyakit ASF dilaporkan di Negeri Sembilan setakat ini. - Gambar hiasan
Tiada kes positif baharu membabitkan penyakit ASF dilaporkan di Negeri Sembilan setakat ini. - Gambar hiasan
A
A
A

JELEBU - Tiada kes positif baharu membabitkan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dilaporkan di Negeri Sembilan setakat ini.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, ketika ini pihak berkaitan sedang membuat pengawasan di ladang lain di negeri ini.

"Jika ada kes positif dilaporkan, tindakan lebih bersistematik mengikut undang-undang akan dilakukan.

"Rabu lepas, 275 babi dari sebuah ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson sudah dilupuskan selepas berlaku kes positif membabitkan dua ekor haiwan berkenaan," katanya pada program penyerahan barangan makanan kepada golongan memerlukan di Kampung Larong di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Larong, Pianggu dan Mengkan.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) mengesan kes positif ASF membabitkan dua ekor babi dari sebuah ladang tidak berlesen di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Port Dickson.

Kes positif itu dikesan selepas sampel diambil daripada 275 ekor babi sebelum dua daripadanya disahkan positif ASF.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Bakri berkata, lebih 800 ekor lembu akan disembelih sempena Program Mantai Dalam Talian anjuran kerajaan Negeri Sembilan pada tahun ini.

"Setakat ini, terdapat lima penternak yang sudah menunjukkan minat untuk menyertai program mantai dalam talian ini.

Artikel Berkaitan:

"Semua daerah kecuali Seremban masing-masing diperuntukkan sebanyak 10 tan daging dan tulang, manakala bagi daerah Seremban sebanyak 23 tan daging dan tulang diperuntukkan.

"Program yang julung kali diadakan secara dalam talian itu membolehkan orang ramai membeli daging atau tulang dengan cara lebih mudah," katanya.

Katanya, disebabkan program tersebut di laksanakan secara hibrid maka semua tempahan perlu diambil di lokasi di setiap daerah yang akan ditentukan nanti.

"Bagaimanapun, maklumat terperinci program mantai dalam talian itu akan dimaklumkan pada Isnin ini.

"Kita percaya, program ini akan membantu memudahkan orang ramai untuk membeli daging dan penyerahannya dilakukan pada 30 April ini," katanya.