Dorongan rakan dalam AMK beri keyakinan kepada Adam Adli

Adam (kanan) bergambar bersama Exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim yang akan bergandingan dengannya pada Pemilihan kali ini dan bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Rabu.
Adam (kanan) bergambar bersama Exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim yang akan bergandingan dengannya pada Pemilihan kali ini dan bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dorongan daripada rakan di dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberikan keyakinan kepada bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim dalam usahanya merebut jawatan sebagai Ketua sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada pemilihan kali ini.

Beliau berkata, dorongan diperolehnya itu termasuk daripada mereka yang telah lama terlibat dalam AMK.

Adam pada masa sama turut menafikan bahawa langkah beliau untuk bertanding pada pemilihan kali ini adalah disebabkan popularitinya sebagai individu yang pernah terlibat aktif sebagai aktivis mahasiswa sebelum ini.

“Sebenarnya keyakinan saya bukanlah disebabkan saya ini dikenali atau tak dikenali, otai tidak otai dan orang lama atau orang baru.

“Tetapi lebih apabila kita turun terutamanya apabila jumpa dengan rakan dalam AMK yang lebih lama terlibat, sebenarnya kita mula nampak dorongan yang sangat baik. Itu yang memberi saya lebih keyakinan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Rabu.

Adam, 33, yang mengumumkan menyertai PKR pada September tahun lalu merupakan bekas aktivis mahasiswa yang pernah ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 akibat penglibatannya dalam beberapa siri demonstrasi antara tahun 2013 hingga 2015.

Penglibatannya sebagai aktivis juga menyebabkan beliau terpaksa menghadapi penggantungan pengajian selama lima tahun, berakhir 2018, daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam pada itu, Adam berkata, PKR termasuk Pakatan Harapan perlu memberikan tawaran dasar yang lebih baik dan bermanfaat kepada rakyat sekiranya mahu kembali mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Katanya, PKR juga perlu kembali kepada akarnya iaitu politik progresif yang sebelum ini menjadi kekuatan mereka.

“Kita perlu kepada dasar yang lebih prorakyat yang tawarannya bukan sekadar manifesto tetapi juga pendirian politik yang lebih bersifat bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan tetapi juga untuk mengangkat kepentingan orang ramai,” ujarnya.