Remaja terlambat ke sekolah maut dalam kemalangan

Shuhaimi menunjukkan gambar longkang yang merupakan lokasi Nurul Husna tercampak dalam kemalangan di Kampung Aur Cina, Slow Machang, Pasir Mas pada Isnin.
Shuhaimi menunjukkan gambar longkang yang merupakan lokasi Nurul Husna tercampak dalam kemalangan di Kampung Aur Cina, Slow Machang, Pasir Mas pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS - Tindakan seorang remaja perempuan yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal bapanya ekoran sudah lambat ke sekolah membawa padah apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kampung Aur Cina, Slow Machang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, motosikal yang ditunggang, Nurul Husna Abdullah, 14, terbabas ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolahnya menyebabkan dia tercampak ke dalam longkang berhampiran.

Nurul Husna kemudian dilaporkan meninggal dunia pada jam 8 pagi semasa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan maut itu pada jam 11 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Kampung Aur Cina untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong, Pasir Mas.

Setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar penghadang longkang menyebabkan dia tercampak ke dalam longkang berkenaan

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk menerima rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 8 pagi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, pada Selasa.

Motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Nurul Husna ketika kemalangan.
Motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Nurul Husna ketika kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, berdasarkan keterangan bapa, anak kedua daripada tiga beradik itu sepatutnya dihantar oleh ibunya ke sekolah, namun dia terlambat menyebabkannya mangsa menunggang sendirian menggunakan motosikal bapanya.

“Mangsa dikatakan dalam keadaan tergesa-gesa kerana sudah lambat ke sekolah dan baru seminggu dua pandai menunggang motosikal.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau mana-mana pemilik kenderaan agar tidak membenarkan anak-anak di bawah umur menunggang motosikal atau memandu kereta dengan sewenang-wenangnya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Ibu bapa atau mana-mana pihak yang ingkar dengan membenarkan mereka yang di bawah umur untuk memandu kenderaan atau menunggang motosikal boleh didakwa di mahkamah.

“Dakwaan boleh dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM2,000," katanya.