Kama Azural Ketua Polis Pasir Mas yang baharu

Menggantikan Nik Aminuddin yang memangku tugas sebelum ini

Kama Azural (kanan) menerima tugas daripada Nik Aminuddin (kiri) sambil disaksikan Muhamad Zaki (tengah).
Kama Azural (kanan) menerima tugas daripada Nik Aminuddin (kiri) sambil disaksikan Muhamad Zaki (tengah).
A
A
A

PASIR MAS - Bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kelantan, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Mas yang baharu berkuat kuasa pada Isnin.

Kama Azural mengambil alih tugas daripada Timbalan Ketua Polis Pasir Mas, Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah yang memangku jawatan itu sejak lebih tiga bulan lalu.

“Kepada semua warga IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Pasir Mas mari bersama-sama berganding bahu. Bersedia melangkah lebih gagah bersama saya selepas ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas pada Isnin.

Majlis disaksikan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Kama Azural (kiri) menandatangani surat serah terima tugas pada Isnin.
Kama Azural (kiri) menandatangani surat serah terima tugas pada Isnin.

Turut diadakan Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Pasir Mas daripada Tengku Maslina Tengku Mansor kepada Norizan Awang sambil disaksikan Pengerusi Perkep Kontinjen Kelantan, Datin Suzana Yashin.

Sebelum itu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Muhammad Zaki memakaikan lencana pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Kelantan yang baharu, Deputi Komisioner Victor Sanjos yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPD Bukit Aman.

Turut berlangsung acara Serah Terima Tugas antara Victor daripada Ketua Cawangan Khas Kontinjen Kelantan Senior Asisten Komisioner Salim Youb yang memangku jawatan itu sebelum ini.

Selainnya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar pula menyerahkan jawatan kepada Asisten Komisioner Douglas Nyenging AK Taong sebagai ketua jabatan itu yang baharu.