Pasir Mas, Tumpat 'hotspot' laluan penyeludup

Muhamad Zaki (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Kama Azural (kanan) dan Nik Aminuddin (kiri).
Muhamad Zaki (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Kama Azural (kanan) dan Nik Aminuddin (kiri).
A
A
A

PASIR MAS - Dua daerah di Kelantan iaitu Pasir Mas dan Tumpat antara lokasi panas yang dikesan menjadi laluan digunakan penyeludup termasuk kegiatan pemerdagangan manusia.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lokasi dua daerah di sempadan negara Malaysia - Thailand itu terdapat banyak jeti-jeti haram.

“Jarak sempadan juga panjang dengan struktur perumahan yang terlalu rapat ditambah ladang-ladang yang dijadikan sebagai tempat persembunyian.

“Taktik mereka masuk berkumpul di lokasi transit di ladang itu untuk menunggu orang datang ambil atau keluar menggunakan pengangkutan Grab,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Pasir Mas dan Pengerusi Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kelantan, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Mas menggantikan pemangku, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah.

Menurut Muhamad Zaki, migran terlibat antaranya warganegara Myanmar dan kini dari India juga mula memasuki negara ini melalui Kelantan.

Beliau berkata, bagaimanapun penyeludup-penyeludup dilihat lebih takut apabila mengubah cara pergerakan dalam kumpulan yang lebih kecil.

“Sebelum ini, mereka masuk sehingga ada 100 orang sekali, tetapi akhir-akhir ini kurang daripada itu. Mereka mengaku masuk ke negara ini untuk mencari pekerjaan.

“Hal ini disebabkan polis sentiasa meningkatkan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah itu dan kegiatan lain seperti penyeludupan dadah dan senjata api,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya merancang untuk menambah aset logistik bagi memperketatkan lagi kawalan di sempadan.

“Perkara itu dalam makluman dan perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri.

“Kita juga akan melihat idea-idea mewujudkan penggera, lebih banyak kamera litar tertutup dan lampu di kawasan itu,” katanya.