Polis rakam percakapan wanita, anak tarik anjing dari dalam kereta

Tangkap layar video tular memaparkan seekor anjing ditarik seorang individu dari dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang bergerak.
Tangkap layar video tular memaparkan seekor anjing ditarik seorang individu dari dalam sebuah kereta Perodua Myvi yang bergerak.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis telah merakam keterangan seorang wanita dan anaknya berhubung video tular seekor anjing ditarik dari dalam sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih yang bergerak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner, Rupiah Abd Wahid berkata, berdasarkan video berdurasi sembilan saat itu, kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan Taman Sri Skudai.

Katanya, hasil soal siasat ke atas lelaki berusia 34 tahun dan ibunya yang berusia 61 tahun, kejadian terbabit didakwa berlaku pada kira-kira jam 2 petang, Jumaat lalu.

"Mengikut keterangan diberikan, anjing tersebut merupakan haiwan peliharaan mereka yang hilang dan dijumpai semula dalam keadaan kotor dan berkutu.

Mereka beranggapan tidak sesuai untuk membawa masuk haiwan berkenaan ke dalam kereta.

"Ibu lelaki berkenaan menggunakan tali 'leash' untuk menarik anjing dari tingkap penumpang hadapan kereta yang dipandu secara perlahan memandangkan kawasan anjing itu ditemui berhampiran dengan rumah mereka," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Rupiah berkata, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diperolehi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan/Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122," katanya.

Sebelum ini, video yang tular di media sosial mengundang kemarahan orang ramai yang mengecam perbuatan individu di dalam Myvi berkenaan dan menyifatkan ia terlalu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Selain itu, pengguna media sosial juga meminta agar tindakan tegas diambil sebagai pengajaran dan kesedaran.