Sila log masuk terlebih dahulu.

Pencapaian PICKids di Sabah hanya 24 peratus

Shahelmey (tiga dari kiri) bersama Masidi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di SICC, Kota Kinabalu.
Shahelmey (tiga dari kiri) bersama Masidi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kadar penerima vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di Sabah masih rendah setakat ini iaitu sebanyak 24 peratus.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jumlah itu berdasarkan seramai 411,400 kanak-kanak yang layak menerima vaksin di negeri ini.

"Setakat 8 April lalu bagi perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) untuk dos pertama ialah sebanyak 24.15 peratus manakala dos lengkap sebanyak 1.35 peratus.

"Kita menasihatkan ibu bapa memberi vaksin kepada anak-anak mereka yang bersekolah iaitu berusia lima hingga 11 tahun," katanya ketika ditemui pemberita malam Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini jumlah kanak-kanak menerima vaksin menerusi PICKids berikutan sesi persekolahan tanpa penggiliran bagi murid sekolah rendah yang akan dimulakan pada 17 April ini.

Shahelmey bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menetapkan jumlah sasaran baharu untuk kanak-kanak yang divaksin namun menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak untuk tujuan itu.

Shahelmey ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pengagihan Zakat Kumpulan Qhazanah Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Sementara itu, Jurucakap Perkembangan Harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang turut hadir pada majlis itu mengingatkan masyarakat setempat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika berada di bazar Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Penting untuk masyarakat memainkan peranan mematuhi SOP kerana itu sumbangan mereka untuk menjayakan usaha kita melawan Covid-19 ini," katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu turut yakin dengan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengawal keadaan berkenaan.