‘Jika ada kenaikan harga, ia perlu rendah’

Gambar kecil: Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Yusof
A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap sekiranya berlaku kenaikan pelitup muka bukan perubatan kerana perakuan dan penandaan MS SIRIM, ia adalah pada kadar yang minima atau rendah bagi mengelak membebankan pengguna.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman menegaskan, kerajaan perlu memastikan bahawa pelitup muka tersebut pada kadar yang mampu dibeli oleh rakyat.

“Kalau perlu dinaikkan, mungkin masih kadar sedikit dan dalam lingkungan harga yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd berkuat kuasa 4 Julai depan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, ia susulan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Arahan dibuat oleh kerajaan terbabit kemudiannya menimbulkan kebimbangan bahawa harga pelitup muka itu akan naik.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof turut mengakui berkemungkinan ada kos tertentu yang perlu dibayar bagi menguji kualiti pelitup muka itu sehingga menyebabkan penambahan harga.

“Ada kos tertentu yang perlu dibayar untuk makmal tersebut menguji kualitinya. Jadi mungkin ada kos yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Cuma sama ada ia akan meletakkan tambahan harga itu pada pengguna atau tidak. Itu bergantung kepada persaingan,” jelasnya.

Tambahnya, terdapat juga kebimbangan wujud pelitup muka yang tidak diperakui yang dijual pada harga rendah di pasaran.

“Sebab itu kena pastikan harga pelitup muka yang diiktiraf ini tidak tinggi berbanding yang tidak diiktiraf,” ujarnya.